TAHALUF SIYASI DENGAN PKR JADI TOPIK HANGAT MUKTAMAR

PARIT BUNTAR – Teka-teki tahaluf siyasi antara Pas dan PKR menjadi antara topik perbincangan utama dan bakal diputuskan dalam persidangan Muktamar Pas ke-62, April ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ketika ini, tahaluf siyasi dengan PKR masih kekal dan mengekalkan kondisi sama meskipun banyak pihak mengatakan kerjasama Pas dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan sebelum ini sudah terkubur.

Menurutnya, Muktamar Pas kali ini bakal menjadi platform utama ahli membincangkan isu tahaluf siyasi dengan PKR, selain perbincangan cadangan bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU14.
“Buat masa ini, hubungan dengan PKR masih wujud, namun sebab muktamar kali ini memfokuskan kepada pemilihan calon dan rakan kerjasama bagi menghadapi PRU, kita akan putuskan hendak teruskan hubungan dengan PKR atau tidak.

“Jika ada perubahan mesti dibuat ikut proses Muktamar Pas,” katanya di sini.

Dalam perkembangan hubungan dengan Bersatu, beliau menegaskan setakat ini tiada kata putus dicapai dan kedua-dua parti masih di peringkat perbincangan.

Menurutnya, kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yaakob menafikan terdapat persetujuan antara Bersatu dan Pas dalam keputusan pembahagian kerusi pilihan raya turut dipersetujui pihaknya.

Mohd Amar berkata, Pas mengakui keperluan kerjasama dengan parti pembangkang dalam menumbangkan BN di setiap negeri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada negeri boleh buat keputusan bekerjasama dengan Bersatu sebelum ada keputusan di peringkat Majlis Syura.

– Sinar Harian

.