“SYUKUR ALHAMDULILLAH,” KATA AHMAD RAZIF

KUALA TERENGGANU – “Syukur Alhamdulillah”, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman selepas Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan kembali Darjah Kebesaran Negeri Terengganu kepadanya.

Ahmad Razif ketika dihubungi Bernama, bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkara tersebut bagi mengelak salah faham.

Ahmad Razif menerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z) kira-kira 8.30 malam tadi, dan disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama, di sini.

Pada 22 April lepas, semua gelaran terhadap beliau dilucutkan setelah menerima gelaran yang sama pada April 2015 dan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.

– Bernama

.