SYED SADDIQ TANGGUH KERJAYA POLITIK?

KETUA  Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membayangkan akan menangguhkan kerjaya politiknya dengan alasan menyambung pelajarannya di Universiti Oxford.

Menerusi laman instagramnya hari ini Syed memuat naik sekeping gambar dirinya yang memegang surat tawaran melanjutkan pelajaran bersama ibu bapanya.

“Saya sudah mengambil pandangan ramai termasuk nasihat daripada kedua ibu bapa tercinta, berkenaan masa depan saya dalam politik bersertakan biasiswa dari Oxford Universiti untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Public Policy (Ijazah Sarjana),” katanya yang dipetik dari laman Instagramnya hari ini.

Syed membuat keputusan untuk menyambung pengajiannya di United Kingdom, tidak berapa lama sebelum PRU14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Ogos.

Terdahulu, Syed telah menghebahkan jemputan untuk mengadakan sidang media esok berhubung keputusannya menyambung pelajaran selain menjelaskan statusnya dalam Bersatu.

Namun jemputan itu mencetuskan spekulasi Syed bakal lompat parti ekoran dari tempat sidang medianya diadakan di Hotel Seri Pacific hanya bersebelahan dengan Ibu Pejabat Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Malah pemimpin Armada ketika dihubungi The Malaysian Insight juga tidak tahu menahu mengenai sidang media yang akan diadakan oleh Syed itu.

The Malaysian Insight juga difahamkan Syed sepatutnya menghadiri forum Pakatan Harapan di Taman Melawati malam ini namun membatalkan kehadirannya pada saat akhir.

Bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga pendebat terbaik Asia menjadi tumpuan selepas mengacarakan majlis menandatangani Deklarasi Rakyat tahun lalu.

Beliau yang juga alumni Kolej Tentera Diraja juga itu juga mula dikenali selepas menjadi salah seorang penyokong tegar penasihat Bersatu yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad

Baru-baru ini, Syed dilaporkan bertelagah dengan bekas naib presiden Bersatu Hamidah Osman, yang didakwa Syed sebagai ejen Umno yang bertanggungjawab terhadap perpecahan parti itu di Perak.

– https://www.themalaysianinsight.com

.