SYED SADDIQ: ‘SATU JUTA PEKERJAAN DALAM 5 TAHUN’ JIKA HARAPAN MENANG

Sayap pemuda Pakatan Harapan menjanjikan sejuta peluang pekerjaan dalam masa lima tahun jika pakatan pembangkang merampas kuasa Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Armada BERSATU Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, gabungan itu menyasarkan untuk mencapai matlamat ini dengan menjadikan ‘kerja kotor’ lebih menarik dan mengurangkan tenaga kerja asing.

“Terdapat 3.3 juta pekerja asing yang sah pada 2016, kami berhasrat untuk mengurangkannya kepada 2.5 juta dalam tempoh lima tahun,” katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, hari ini.

Syed Saddiq berkata, dengan tawaran gaji yang betul, seorang warga tempatan boleh melakukan dua kerja warga asing.

Dyana Sofya Md Daud dari DAP, yang turut hadir pula berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang menggajikan 2,437 pekerja majlis perbandaran – kebanyakannya melibatkan pengurusan sisa – tahun lepas.

“Jadi untuk mengatakan belia tidak berminat dengan pekerjaan kotor, berbahaya, dan sukar (3D) adalah tidak benar. Dengan tawaran gaji yang baik, mereka berminat,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif tersebut akan menelan belanja RM20 juta kepada kerajaan negeri tetapi berbaloi bagi mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.

– M’kini

.