SYED SADDIQ: RASUAH YANG MENULAR ADALAH DARI KALANGAN PEMIMPIN

SHAH ALAM – Armada Bersatu menyifatkan kebanyakan kes rasuah yang berlaku di negara ini adalah dari kalangan pemimpin.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, orang yang kononnya lantang memperjuangkan hak Melayu tetapi orang yang sama inilah menggadaikan hak-hak Melayu.

“Ini bukan kali pertama kes rasuah yang melibatkan individu-individu di dalam politik.

Sebelum ini kes-kes rasuah seperti penukaran status rumah Bumiputera.

“Kes-kes yang melibatkan hak-hak asas yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat untuk kesenangan dan kemudahan rakyat sendiri tetapi diselewengkan demi kepentingan duit poket sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Syed Saddiq berkata demikian mengulas beberapa tangkapan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan beberapa pemimpin dan pegawai kerajaan.

Mengambil contoh bekalan air di Sabah, Syed Saddiq berkata, umum mengetahui betapa susahnya untuk mendapatkannya dan betapa sengsaranya anak-anak muda bergelut untuk membeli rumah mampu milik.

“Jika perkara-perkara asas seperti ini pun mampu diselewengkan, belum lagi projek-projek mahupun tender-tender besar yang berada di luar pengetahuan kita.

“Ini baru ikan kecil, belum yang besar lagi. Mahukah kita individu-individu yang sebati dengan budaya korupsi menjadi pemimpin kita pada masa hadapan?” katanya.

– SH

.