SYED SADDIQ PERJELAS KENYATAAN ‘BUGIS’ DR MAHATHIR KEPADA SULTAN SELANGOR

KETUA Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor yang ingin pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu disiasat kerana menghina masyarakat Bugis.

Melalui surat terbuka ditujukan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini, Syed Saddiq menjelaskan frasa “lanun Bugis” itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Razak, bukannya seluruh keturunan Bugis.

“Pernyataan itu juga timbul susulan kenyataan Datuk Seri Najib Razak sendiri yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Pahlawan Bugis’ dalam suatu program pada 4 Jun 2015 di Sarawak. Sejak itu Dr Mahathir sememangnya menyebut mengenai Pahlawan Bugis dalam naratif untuk menyedarkan tindak tanduk Najib yang berselindung melalui keturunan untuk menghalalkan tindakan salah laku beliau khususnya dalam hal salah guna kuasa dan rasuah.

“Saya sebagai orang Melayu amatlah berasa malu sekiranya menggunakan nama sebagai ‘Pahlawan Melayu’ sebagai jalan untuk menghalalkan perbuatan rasuah dan menjadikan medan bangsa mahupun keturunan untuk menghalalkan perbuatan sebagai perisai.

“Saya yakin sebegitulah juga untuk seluruh keturunan Bugis. Ini bukan isu bangsa mahupun keturunan, tidak kisah keturunan Melayu, Bugis, India, Cina, Sabah dan Sarawak, tetapi kalau mengamalkan rasuah saya akan berasa malu akan perbuatan sedemikian yang menggunakan bangsa sebagai perisai,” katanya.

Syed Saddiq turut menyatakan Dr Mahathir sudahn menjelaskan penggunaan “lanun Bugis” itu dalam blog beliau awal minggu ini serta ucapan bertarikh  18 Oktober 2017 di Kemaman, Terengganu dengan menyatakan “orang Bugis tak semuanya lanun, raja kita ada keturunan Bugis juga” serta turut memberi pautan ucapan tersebut di laman YouTube.

“Ini jelas menunjukkan pendirian Dr Mahathir yang menujukan pernyataan dan menempelak Najib semata-mata atas salah laku beliau yang menggunakan keturunan Bugis sebagai perisai,” kata beliau.

Syed Saddiq turut meluahkan kekesalan beliau kerana isu tersebut dipolitikkan dan memohon agar Sultan Selangor dapat menilai kembali gesaan agar Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan.

Beliau turut menarik perhatian dengan merujuk semula ucapan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada 30 Julai lalu yang menyindir keturunan India Dr Mahathir.

“Malah patik terkejut dengan gesaan daripada pihak Tuanku dan nyata patik berbeza pendapat untuk Dr Mahathir disiasat di bawah akta hasutan kerana pernyataan Dr Mahathir juga boleh dikaitkan dengan isu kenyataan Zahid yang menyerang keharmonian kaum apatah lagi melibatkan keturunan India yang juga merupakan warganegara di Malaysia.

“Patik berharap Tuanku bersama kami rakyat, seganding dengan kami demi kesejahteraan negara dan kesenangan rakyat tuanku,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata Dr Mahathir dilihat seolah-olah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, merendahkan dan melihat masyarakat Bugis dengan penghinaan.

Ia turut mahu bekas perdana menteri itu disiasat di bawah Akta Hasutan kerana perkara itu.

“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menganggap ucapan berkenaan (oleh Dr Mahathir) amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara,” kata kenyataan itu.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.