SYED SADDIQ: ‘JANGAN BALING BATU SEMBUNYI TANGAN’

SHAH ALAM – Perdana Menteri diingat supaya tidak bersikap baling batu sembunyi tangan ketika berdepan dengan pembangkang susulan dakwaannya bahawa Pakatan Harapan menipu rakyat.

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jika Datuk Seri Najib Tun Razak di pihak yang benar, maka tiada sebab untuk beliau menolak cabaran Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersemuka.

“Kalau betullah pembangkang banyak menipu, maka terimalah cabaran Tun untuk bersemuka, berdialog atau berdebat. Berani kerana benar.

“Beliau (Najib) tidak perlu takut sebab kami penipu. Lebih mudah kalau berdepan dengan kita, guna hujah atau data dan tidak perlu guna sentimen,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Semalam, dalam ucapan Perasmian Mesyuarat Agung MCA ke-64 di Wisma MCA, Najib meluahkan rasa ‘marah’ beliau terhadap ‘penipuan’ pembangkang selama ini.

Najib turut mengatakan bahawa negara tidak boleh dipimpin oleh orang tua berusia 92 tahun.

Mengulas lanjut mengenainya, Syed Saddiq menekankan bahawa usia tidak memainkan faktor yang besar dalam menentukan pemimpin yang berintegriti.

“Kita kena lihat jasa negarawan seperti Tun M berjaya memulihkan ekonomi negara bawa negara ke mata dunia dan pada masa sama seorang pemimpin yang berintegriti, amanah dan punyai sifat kepimpinan.

“Sebab kualiti yang kita perlukan supaya maruah negara dapat dikembalikan bukannya kisahkan tentang faktor umur.

“Dan kalau betullah tidak mahu pemimpin berumur 92 tahun maka mudahlah Datuk Seri Najib untuk tewaskan atau patahkan hujah Tun sebab beliau dah tua,” katanya.

– Sinar Harian

.