‘SYED SADDIQ, JADILAH BANGSA JOHOR YANG BERSYUKUR’ – PEMUDA UMNO

JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Datuk Syahrin Md Jamaludin sekali lagi menempelak Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan mendakwa beliau pemimpin muda yang belum khatam ilmu apabila menuduh tanpa fakta.

Menurut beliau, tuduhan Syed Saddiq yang mendakwa pemimpin Umno bersikap talam dua muka apabila tidak mempertahankan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dihina oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, adalah tidak merujuk kepada situasi sebenar.

“Ketika isu itu sedang hangat, seluruh rakyat Johor tanpa mengira fahaman politik bersatu dan berdiri teguh menyokong TMJ yang diserang secara tidak beradab oleh pemimpin kerajaan.

“Bangsa Johor tidak pernah sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk Syed Saddiq sendiri jika berbiadap dengan sultan kami,” katanya.

Syahrin turut menasihatkan Syed Saddiq supaya menjadi Bangsa Johor yang tahu bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai seorang sultan yang begitu prihatin dengan rakyatnya.

 

Ujar beliau, tuduhan tanpa fakta itu amat jelas menunjukkan Syed Saddiq adalah pemimpin mentah dan mudah diperalatkan orang lain demi kepentingan politik.

“Sebarang perhimpunan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian rakyat perlu ditentang dan itulah yang dititikberatkan oleh Sultan Johor.

“Jadi kena fikir masak-masak, pertimbangkan secara halus sebelum buat kenyataan kerana Bangsa Johor amat dikenali sebagai bangsa yang bersopan santun serta menyanjung raja,” katanya.

SINAR HARIAN

.