SYED SADDIQ DITAWAR RM5 JUTA, BERANIKAH SPRM BERTINDAK? ATAU SEDIAKAH NAJIB MENYAMAN KETUA ARMADA BERSATU ITU?

Semalam Najib Razak merasmikan bangunan baru SPRM sambil membawa buah tangan berjumlah RM5 juta untuk diberikan kepada Yayasan Prihan SPRM, sebuah yayasan di bawan agensi tersebut yang berperanan menjaga kebajikan para pekerjanya.
Kata Najib, sumbangan itu bukan saja untuk menjaga kebajikan anggota agensi tersebut yang bekerja siang dan malam untuk melawan rasuah, tetapi juga sebagai tanda sokongan beliau kepada usaha murni itu.
“Teruslah berjuang habis-habisan kerana rasuah memang ancaman kepada negara, tamadun, masyarakat dan masa depan kita.
“Apabila kita dapat membendung rasuah dan salah guna kuasa, Insya Allah negara akan lebih maju dan berjaya seperti matlamat kita di bawah visi Transformasi Nasional 2050,” kata beliau lagi dalam ucapannya itu.
Wowwww…macam ungkapan pendita suci ucapan Najib di majlis berkenaan, meskipun peruntukan RM5 juta yang diumumkannya itu hadir di ketika SPRM belum lagi menghantar laporannya kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.
Sehubungan itu, demi maruah dan intergriti seluruh anggota SPRM, memang wajar Yayasan Prihatin SPRM memulangkan saja wang tersebut sebagaimana yang didesak oleh PKR.
Tiada maknanya wang tersebut dari segi intergriti dan menerimanya seolah-olah menghalalkan rasuah atas rasuah berlaku secara terang-terangan dan terbuka di bangunan SPRM sendiri.
Apakah anggota dan petugas SPRM tidak rasa terhina dengan sumbangan RM5 juta tersebut?
Selain sumbangan RM5 juta itu yang menjadi perbualan, kehadiran Najib merasmikan bangunan baru SPRM juga menjadi pertikaian ramai sebenarnya.
Najib, dalam kedudukan kesnya masih belum selesai serta terpalit dengan skandal 1MDB dan kemasukan RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya serta penyiasatan oleh DOJ masih lagi berjalan, dianggap tidak wajar sama-sekali hadir dan merasmikan bangunan SPRM.
Kehadirannya itu dianggap jenaka paling memualkan, tidak saja buat SPRM, malah juga kepada imej negara.
Itu cerita semalam. Hari ini pula Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Armada Bersatu mendedahkan beliau telah ditawarkan RM5 juta untuk meninggalkan Bersatu dan pergi melanjutkan pelajaran ke peringkat master dalam bidang polisi awam di Oxford.
Secara terbuka Syed Saddiq menyebut suapan RM5 juta itu dilakukan oleh  penasihat kanan Najib yang disebut namanya sebagai Habibur Rahman.
Syed Saddiq bagaimana dengan tegas  menolak tawaran tersebut kerana ingin terus kekal dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia bersama Bersatu dan Pakatan Harapan.
Sesiapa pun yang menonton video sidang akhbar beliau pasti terasa sebak dan bangga dengan kekentalan jiwanya yang tidak mudah gelap mata dengan wang berjuta melalui lelongan maruah diri sebagai tukarannya.
Syabas dan tahniah kepada Syed Saddiq, jiwa dan semangat andalah obor yang akan menjadi harapan kepada masa depan negara.
Apa seharusnya selepas pendedahan terbuka oleh Syed Saddiq itu?
Meskipun Syed Saddiq dilaporkan belum menyerahkan bukti-bukti yang dimilikinya kepada SPRM dan masih berbincang dengan peguamnya untuk tindakan seterusnya, tetapi oleh kerana pendedahan sudah dibuat secara terbuka, SPRM tiada pilihan lain selain harus menyiasat semua dakwaan itu dengan segera?
Inilah masanya, sesuai dengan bangunan baru yang lebih besar yang kini dimiliki oleh SPRM,  mereka juga harus bejiwa besar untuk menyiasat kes-kes besar dan melibatkan orang-orang besar.
Nama sudah disebut, jumlah habuan sudah dinyatakan dan nama Najib juga turut dikaitkan, maka tiada sebab untuk SPRM berlengah lagi untuk melakukan siasatan.
Dalam pada itu, oleh kerana nama penasihat kanan Najib disebut secara jelas dan secara tidak langsung nama Najib juga dikaitkan sebagai penerima manfaat di sebalik sogokan RM5 juta itu, kiranya dakwaan tersebut tidak benar dan berupa fitnah, Perdana Menteri harus segera menyeret Syed Saddiq ke muka pengadilan.
Hanya tindakan undang-undang pilihan yang ada untuk Najib bagi membersihkan namanya.

Jika tindakan undang-undang tidak berani diambil, selain mengesahkan dakwaan Syed Saddiq adalah benar, dalam masa yang sama juga memperlihatkan bahawa budaya “cash is king”  memang sah menjadi amalan Najib dan semakin membarah dalam usahanya memenangi pilihanraya akan datang ini.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.