SYED SADDIQ BUAT LAPORAN POLIS KELUARGA DIUGUT

KETUA Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini membuat satu laporan polis berhubung ancaman terhadap dirinya dan keluarga.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran laporan mahupun tempat beliau membuat laporan sebaliknya hanya mengatakan ia berkait dengan “ancaman dan ugutan peribadi”.

“Saya mungkin akan memanggil sidang media atau mengeluarkan kenyataan selepas saya mendapat nasihat daripada polis,” jawab beliau melalui aplikasi WhatsApp kepada beberapa wartawan yang bertanya mengenai laporan polis itu.

Syed Saddiq dalam sidang medianya pada Isnin mendakwa ditawarkan wang bernilai RM5 juta daripada “penasihat kanan perdana menteri” untuk meninggalkan parti dan menyambung pelajarannya ke luar negara.

Menurut beliau, umpan RM5 juta yang dibuat oleh “rangkaian sistematik dedak” yang dirancang penasihat kanan itu termasuklah geran untuk mendirikan sekolah debat di seluruh Malaysia.

– https://www.themalaysianinsight.com

.