S’WAK REPORT DAKWA KETUA PERISIKAN TERIMA RM7 JUTA

Portal Sarawak Report dalam pendedahan terbarunya mendakwa ada transaksi kononnya melalui akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Antara lain, ia mendakwa Najib membayar RM7 juta kepada “Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (BSPP)” pada 8 April 2013, kira-kira sebulan sebelum PRU yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Dalam satu risalah e-mel, Sarawak Report berkata mungkin “Lt Jeneral Datuk Abdul Hadi Bin Haji Hussin” boleh menjelaskan mengapa perkhidmatan itu menerima cek peribadi daripada perdana menteri hanya sebulan sebelum pilihan raya lepas.

BSPP adalah agensi perisikan bersama Angkatan Tentera Malaysia. Ia melaporkan terus kepada penglima angkatan tentera.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia berhubung dakwaan Sarawak Report itu dan sedang menunggu maklum balas.

Sarawak Report mendakwa angka-angka mengenai transaksi tersebut datang daripada pasukan petugas bersama yang telah menyiasat 1MDB sejak Mac 2015 sehinggalah ia dibubarkan lima bulan kemudian.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tersebut, manakala 1MDB sebelum ini telah menyatakan bahawa tiada wang yang telah disalahgunakan daripada dana tersebut.

Tergesa-gesa kerana bajet

Najib pula secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan berkata berbilion ringgit yang ditemui dalam akaun banknya adalah “sumbangan” daripada keluarga diraja Saudi, dan beliau telah dibersihkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dua tahun lalu, dokumen yang dibocorkan yang dikatakan berasal dari syarikat perisian Hacking Team yang berpangkalan di Milan, menunjukkan BSPP sebagai antara pelanggannya untuk alat pengintipan dan pengawasan.

Agensi itu dirujuk sebagai “Malaysia Intelligence” atau MI, dalam kebanyakan korespondennya yang dibocorkan, tetapi sekurang-kurangnya satu e-mel merujuk kepada BSPP dan menamakan ketua pengarahnya sebagai Abdul Hadi.

Satu lagi e-mel dalaman yang didakwa dibocorkan menyebut: “[Untuk maklumat anda], alasan ia tergesa-gesa adalah kerana sebab-sebab bajet dan juga kerana MI ingin menggunakan ‘solution’ kita semasa pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan seterusnya.”

E-mel bertarikh 6 November 2012 itu menjelaskan bahawa keadaan tergesa-gesa untuk menyelesaikan transaksi itu adalah kerana BSPP perlu melengkapkan bajetnya bagi 2012 pada 15 Disember tahun itu.

BSPP dikatakan membayar Hacking Team sejumlah €552,000 (RM2.7 juta) antara 2012 dan 2015.

Bagaimanapun, dokumen-dokumen yang dikatakan bocor itu menunjukkan tiada transaksi berlaku pada 2013, iaitu apabila Najib didakwa membayar Ketua Pengarah BSPP.
BSPP tidak mengeluarkan sebarang kenyataan umum mengenai kebocoran Hacking Team sejak ia berlaku pada 5 Julai 2015.

Pejabat Perdana Menteri, yang juga dikaitkan dalam kebocoran yang sama, telah menafikan pembelian alat pengintipan daripada Hacking Team.

– M’kini

.