SUSPEK TIADA TANDA-TANDA SAKIT BERKAITAN AGEN SARAF VX – SUBRA

KUALA LUMPUR – Dua suspek yang ditahan dalam siasatan pembunuhan Kim Jong-nam tidak mengalami kesan agen saraf VX yang diguna dalam melakukan pembunuhannya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit akibat terdedah kepada bahan toksik yang membawa maut itu.

“Pemeriksaan kesihatan telah dilakukan dan kedua-dua suspek bebas daripada (kesan) agen saraf berkenaan serta tiada tanda-tanda sakit pada kedua-duanya,” kata Dr Subramaniam kepada pemberita, di sini Selasa.

Dilaporkan Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, sedang menunggu penerbangannya ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lalu apabila dua wanita tiba-tiba menyapu mukanya dengan tangan mereka yang disembur bahan disyaki racun yang kemudian disahkan sebagai agen saraf VX.
Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Kedua-dua suspek warga Indonesia dan Vietnam terbabit dijangka didakwa esok berhubung pembunuhan berkenaan.

– BERNAMA

.