Surendran sedia bermalam di penjara Kajang

Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran menerima ‘pelawaan’ Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya beliau secara peribadi menjalani hidup sehari sebagai penghuni di sel Penjara Kajang.

Surendran berkata beliau bersedia berbuat demikian jika dibenarkan oleh Nur Jazlan, yang dilaporkan mengeluarkan ‘udangan’ itu minggu lalu, sebagai menjawap bantahan terhadap saranan supaya penjara dikerumuni tikus dan lipas di dalam sel penjara.

“Demi kepentingan awam, saya berterima kasih kepada beliau kerana memberi peluang ini dan menerima pelawaan itu.

“Saya bersedia untuk tinggal di Penjara Kajang dalam keadaan yang sama seperti banduan untuk menilai, jika Datuk Nur Jazlan sebagai timbalan menteri dalam negeri, secara rasmi meluluskannya,” kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Nur Jazlan, sebelum ini berkata Surendran perlu secara peribadi mengalaminya dan membandingkan keadaan sel penjara di Malaysia dengan sel di rantau ini.

Cadangan itu pertama kali ditimbulkan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, dalam satu temu bual dengan Bernama dan disokong oleh Nur Jazlan.

Mohd Noor, bagaimanapun, semalam berkata komennya supaya penjara dikerumuni tikus dan lipas hanya dibuat dengan ‘bersahaja’.

Mengulas lanjut, Surendran berkata adalah salah dari segi undang-undang dan moral bagi Nur Jazlan menyokong cadangan itu.

Katanya, tidak ada peruntukan di bawah Akta Penjara 1995 atau Peraturan-Peraturan Penjara 2000, yang memberi kuasa perundangan untuk menempatkan mahkluk perosak itu ke penjara sebagai cara untuk menyeksa banduan.

“Sebaliknya, Peraturan 3 menyatakan ‘layanan terhadap banduan hendaklah sebagaimana menggalakkan mereka menghormati kendiri dan mempunyai perasaan tanggungjawab ke atas diri sendiri’.

“Manakala Peraturan 55 pula berbunyi ‘adalah menjadi tugas semua pegawai penjara untuk memperlakukan semua banduan dengan kebaikan dan berperikemanusiaan. Nur Jazlan tidak sedar peruntukan ini?,” soalnya. – M’kini

.