SURAT TERBUKA BUAT NAJIB – DATUK SERI, DENGARLAH DULU RAKAMAN PERBUALAN ZAHID HAMIDI DENGAN TUN MAHATHIR

Kali ini saya tergerak hati untuk menulis sepucuk surat terbuka buat YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Saya harap Datuk Seri tidak berkecil hati kerana sudah tentu apabila ia merupakan surat terbuka, pembaca blog ini akan terlebih dahulunya dapat membacanya berbanding Datuk Seri sendiri.
Bagaimanapun, saya akan cuba “tag” surat terbuka ini di Facebook dan  “mention” di Twitter Datuk Seri agar Datuk Seri dapat membacanya dengan lebih cepat atau jika kebetulan sedang bermain-main dengan gajet telefon pintar dalam genggaman ketika ini.
Datuk Seri,
Saya tertarik dengan pernyataan keyakinan Datuk Seri mengenai kesetiaan Ahmad Zahid Hamidi dan nampaknya sama-sekali tidak meragui taat setianya beliau kepada Datuk Seri.
Datuk Seri berhujah bahawa penahanan Zahid Hamidi di bawah ISA oleh Tun Mahathir Mohamad, kedudukannya sebagai rakan lama dan bekas Setiausaha Politik Datuk Seri serta Datuk Seri sendiri pernah membantunya dengan “ucapan berapi-api” dalam merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk suatu ketika dahulu sehingga Zahid Hamidi akhirnya menang dengan kelebihan 11 undi, adalah sandaran keyakinan Datuk Seri terhadap kesetiaan Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Datuk Seri dilaporkan berkata, adalah mustahil Ahmad Zahid sanggup meminta pertolongan daripada Tun Mahathir untuk mengambil alih tempat Datuk Seri sebagai Perdana Menteri.
Dalam hal ini, saya agak tertarik kenapakah Datuk Seri cuba mengungkit kembali pertolongan kepada Zahid Hamidi yang saya difahamkan berlaku pada tahun tahun 1989 dahulu? Apakah misteri di sebaliknya?
Datuk Seri,
Semua orang faham bahawa Datuk Seri berbuat demikian adalah untuk meredakan keresahan ahli-ahli UMNO sendiri tentang hubungan Datuk Seri dengan Zahid Hamidi, apatah lagi PRU 14 bakal menjelang tidak lama lagi.
Tetapi Datuk Seri, saya hanya mahu memberi logika mudah dalam perkara ini. Untuk apa sebenarnya Zahid Hamidi datang menemui Tun Mahathir sedangkan beliau tahu ketika itu Tun Mahathir sedang berusaha gigih mahu menjatuhkan Datuk Seri?
Walaupun Zahid Hamidi mengatakan Datuk Seri memberi keizinan kepadanya untuk bertemu Tun Mahathir, hakikatnya Zahid Hamidi tidak patut sama-sekali ada hasrat untuk bertemu dengan Tun Mahathir pada waktu itu.
Ketika memberi keizinan itu, tentu Datuk Seri terasa pedih hati atau mungkin hanya memberi izin dalam paksa sahaja.
Sehingga ini pun, Zahid Hamidi tidak menjelaskan apakah tujuan dan maksud sebenarnya beliau bertemu dengan Tun Mahathir ketika itu?
Cuma yang Zahid Hamidi kata, beliau ada rakaman pertemuannya dengan Tun Mahathir itu dan ia masih dalam simpanannya.
Saya percaya, pertemuan itu hanyalah empat mata antara Tun Mahathir dan Zahid Hamidi saja. Sehingga ini hanya Zahid Hamidi yang mengatakan bahawa dalam pertemuan itu, Tun Mahathir mahu menyingkirkan Datuk Seri melalui usul undi tidak percaya di Parlimen dan menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.
Pada saya, kata-kata Zahid Hamidi itu tidaklah luar biasa. Semua orang tahu Tun Mahathir sejak Ogos 2014 hinggalah sekarang memang mahu menyingkirkan Datuk Seri sebagai Perdana Menteri.
Jadi, menyebut tentang usul tidak percaya atau memorandum, tiada langsung yang luar biasanya, malah  kritikan, serangan dan hentaman pun dilakukan oleh Tun Mahathir kepada Datuk Seri.
Namun, sebagaimana yang saya tulis dalam blog sebelum ini, apakah reaksi Zahidi Hamidi terhadap perancangan usul dan memorandum oleh Tun Mahathir itu?
Adakah beliau tidak setuju, diam atau pun setuju?
Atau adakah Zahid Hamidi pernah cuba meyakinkan Tun Mahathir agar menerima kepimpinan Datuk Seri dan menghentikan segala usahanya untuk menyingkirkan Datuk Seri?
Selain itu, apa lagi butir-butir perbualan lain dalam pertemuan dengan Tun Mahathir itu tidak pula didedahkan oleh Zahid Hamidi.
Datuk Seri,
Maka, dalam hal ini ada baiknya Datuk Seri menunggu sehingga Zahid Hamidi mendedahkan rakaman perbualan itu kepada umum terlebih dahulu.
Sekiranya dalam minggu-minggu ke hadapan, Zahid Hamidi tidak juga mendedahkan rakaman perbualan itu, saya cadangkan agar Datuk Seri minta daripada Zahid Hamidi salinan rakaman itu untuk Datuk Seri dengar sendiri butir perbualan itu dan menilainya.
Zahid Hamidi juga kata, Tun Mahathir turut memiliki rakaman pertemuan itu. Sebagaimana yang Tun Mahathir sebut sebelum ini dan kemudian dalam temubual dengan sebuah portal, bekas Perdana Menteri itu tetap mengatakan kunjungan Zahid Hamidi ialah untuk meminta simpati dan sokongan daripadanya untuk menyingkirkan Datuk Seri.
Saya bimbang, jika benar Tun Mahathir ada rakaman perbualan pertemuan itu, beliau akan mendedahkannya dan kiranya terbukti Zahid Hamidi ada mengeluarkan kata-kata untuk meminta sokongan bagi mengambil alih tempat Datuk Seri, ia adalah sesuatu yang memalukan Datuk Seri yang mempercayai sepenuhnya akan kesetiaan Zahid Hamidi.
Oleh itu, sekali lagi saya memberi pandangan agar Datuk Seri cepat-cepat meminta salinan rakaman perbualan dengan Tun Mahathir itu daripada Zahid Hamidi sebelum Tun Mahathir mendedahkannya kepada umum.
Kemudian, Datuk Seri juga boleh tengok, adakah Zahid Hamidi dengan mudah memberikan salinan itu?
Jika terbukti Zahid Hamidi benar-benar setia dan tidak curang, tiada salahnya untuk Datuk Seri terus meyakini kesetiaan Zahid Hamidi dan mengekalkannya dalam persiapan UMNO menghadapi PRU 14 akan datang.
Jika sebaliknya, ia tentunya merbahaya kepada masa depan Datuk Seri dan Datuk Seri perlulah lebih berhati-hati.
Datuk Seri,
Sekali lagi, permintaan saya kepada Datuk Seri, cepat-cepatlah minta salinan rakaman perbualan itu daripada Zahid Hamidi dan dengar sendiri dengan teliti.
Walaupun saya bukan lagi ahli UMNO, tetapi apa yang saya luahkan ini adalah juga luahan hati beberapa rakan saya yang masih dalam UMNO, malah saya percaya sebahagian besar ahli UMNO juga ada pandangan yang sama.
Janganlah Datuk Seri terlalu dibelenggu oleh nostalgia silam kerana pepatah lama ada menyebut, air tenang jangan disangka tiada buaya.

Sekian, pandangan tidak berapa sen daripada saya. Terima kasih atas kesudian Datuk Seri meluangkan masa membacanya.

– shahbudindotcom.blogspot.my

.