SURAT PALSU MENGESAHKAN LAGI NAJIB-ZAHID TIDAK SEBULU?

Munculnya surat palsu yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, tidak lebih hanya merupakan pengesahan hubungan makin renggang dan tidak sebulu antara kedua-kedua pemimpin itu.

Beberapa pemimpin dan veteran UMNO melihat apa yang berlaku ini hampir menyerupai episod yang pernah terjadi antara Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim dahulu.

Anwar dahulu beberapa kali mengulangi taat setianya kepada Tun Mahathir, manakala Tun Mahathir pula, setiap kali ditanya mengenai hubungannya dengan Anwar, tidak pernah lupa mengatakan Anwarlah bakal penggantinya.

Namun, akhirnya hubungan mereka terlerai jua akhirnya.

Begitu juga dengan Najib dan Zahid. Sementara Najib mengatakan beliau menaruh kepercayaan penuh kepada Zahid dan tidak bimbang dengan kelibat Timbalan Perdana Menteri itu berada di belakangnya, Zahid pula tidak henti-henti menunjukkan beliau seorang yang taat setia serta wala’ kepada Najib.

Hakikatnya, sebagai bekas Setiausaha Politik pada 1987 lagi dan mempunyai hubungan begitu lama dengan Najib, Zahid tidak perlu berlebih-lebihan ingin menunjukkan kesetiaannya, kecuali ada simpang lain sedang bersarang di hatinya.

Kemunculan surat palsu itu dengan jelas tidak menunjukkan kecenderungan pihak pembangkang terlibat mengenainya, walaupun Najib dan Zahid cuba menjurus ke arah itu. Tindakan Najib dan Zahid berbuat demikian lebih untuk melindungi masalah dan kerenggangan yang sedang berlaku antara mereka.

Bagi pihak Pakatan Harapan dan PPBM, mereka ternyata lebih gembira jika Najib terus kekal kerana timbunan isu yang melingkarinya lebih memudahkan lagi untuk UMNO dan BN dikalahkan dalam pilihanraya akan datang nanti.

Oleh itu, tiada sebab sama sekali untuk mereka mencipta dan mengedarkan surat palsu itu.

Beberapa pihak yang arif mengenai UMNO mendakwa, munculnya surat palsu itu adalah berikutan tindakan Zahid sebelum Perhimpunan Agung lalu yang mengusulkan agar pindaan perlembagaan parti segera dibuat untuk mewujudkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden UMNO.

Cadangan itu, walaupun mendapat reaksi positif daripada beberapa Ahli MT UMNO, tetapi Najib dikhabarkan memperlihatkan sikap dingin terhadapnya.

Sementara Najib mungkin melihat kelonggaran perlembagaan itu akan memudahkannya untuk menukar pengisi jawatan bagi menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO yang sekarang dipegang oleh Zahid pada bila-bila masa yang diperlukannya nanti, Zahid pula mengharapkan dengan pindaan yang mengesahkan kewujudan jawatan itu dalam perlembagaan UMNO, ia lebih menyelamatkan untuk menghadapi pemilihan UMNO selepas pilihanraya nanti.

Bagaimanapun, dengan tindakan Zahid mengemukakan cadangan pindaan itu secara tergesa-gesa membuatkan Najib merasakan timbalannya itu lebih memikirkan untuk menyelamatkan kedudukannya semata-mata berbanding berusaha gigih membantunya memastikan UMNO dan BN memenangi PRU 14.

Satu lagi perkara yang membuatkan Najib mula berwaspada terhadap Zahid ialah berikutan penyokongnya yang secara terbuka mula gelojoh dan tidak sabar-sabar mahu melihat Timbalan Perdana Menteri itu mengambil alih kerusi Perdana Menteri.

Mereka mula bercakap bahawa Najib sudah terlalu membebankan UMNO dan keberadaannya tetap menyukarkan BN untuk memenangi pilihanraya, biar bagaimana sekali pun sokongan dalam UMNO ditunjukkan kepada Najib.

Berbanding Najib, kumpulan itu berhujah bahawa Zahid yang tidak mempunyai isu berat, lebih mudah lagi memimpin parti menjelmakan kemenangan buat UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Dengan masing-masing, Najib dan Zahid menyalahkan pembangkang atas kemunculan surat palsu itu serta senada mengatakan ia bertujuan untuk merenggangkan hubungan mereka, kedua-duanya kini secara tidak langsung sedar hubungan mereka tidak lagi sebaik dan serapat dulu.

Sama seperti Tun Mahathir dan Anwar dahulu, hubungan Najib dan Zahid juga hanya menunggu masa saja untuk terlerai.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.