SUMBER: BERSATU MAHU DR MAHATHIR TANDING PRU-14

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka diturunkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber dalaman, majlis kepimpinan parti itu menyokong bekas perdana menteri yang kini berusia 92 tahun itu dilantik sebagai calon.

“Ada cadangan dengan sokongan kuat supaya Mahathir dilantik sebagai calon kerana permintaan luar biasa daripada akar umbi,” kata satu sumber.

Bagaimanapun, sumber itu berkata parti berkenaan belum membuat keputusan di mana Mahathir akan diturunkan.

“Belum pada masa ini, tetapi beliau memberi respons positif berhubung cadangan kami,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan itu.

Mahathir menjadi wakil rakyat selama lapan penggal, dengan berkhidmat sebagai ahli parlimen Kota Star Selatan selama satu penggal dan kemudian tujuh penggal sebagai ahli parlimen Kubang Pasu di Kedah.

Kali terakhir beliau bertanding adalah pada 1999. Beliau hanya tewas sekali – kepada Datuk Yusof Rawa, yang kemudiannya menjadi presiden PAS – pada tahun 1969.

Beberapa pemimpin tertinggi BERSATU enggan mengulas isu ini.

Dalam satu mesej teks kepada Malaysiakini, ahli majlis tertinggi BERSATU, Rais Husin berkata senarai calon itu belum dimuktamadkan.

Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa BERSATU mungkin akan menurunkan Dr Mahathir di Langkawi atau kubu lamanya di Kubang Pasu. Kedua-duanya kerusi itu dikenali sebagai kubu kuat Umno di Kedah.

– M’kini

.