‘Sultan Johor tolak tawaran jadi Agong’

Sultan Johor dilaporkan menolak tawaran untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Menurut kenyataan di Facebook Johor Southern Tiger, tindakan itu dibuat demi memberi laluan kepada sultan Kelantan.

“Ini adalah kerana DYMM Sultan Johor ingin memberi tumpuan penuh kepada kedaulatan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat Johor.

“Allah Peliharakan Sultan,” petik kenyataan itu yang disiarkan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tiger.

Bagaimanapun setakat ini, belum ada pengumuman rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Bagaimanapun, menurut Bernama, terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan Raja yang berada pada kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain, bukan Raja yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Sistem penggiliran

Mengulas lanjut pelantikan itu, laman Facebook itu dalam posting berasingan menjelaskan
sistem penggiliran lazimnya digunakan untuk melantik Yang di-Pertuan Agong.

“Ia memang satu sistem penggiliran untuk dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong tetapi apabila terjadi sesuatu isu ia akan dilaksanakan mengikut undian dan apabila mengikut sistem undian sepertimana yang telah disembahkan kepada DYMM Sultan Johor atas persetujuan Raja-Raja Melayu, jika baginda inginkan perlantikan YDP Agong, ia akan menjadi undian tanpa bertanding.

“Tetapi disebabkan DYMM Sultan Johor menolak perlantikan tersebut untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada negeri Johor, baginda telah memberi laluan kepada DYMM Sultan Kelantan untuk menjadi YDP Agong dan kesemua Raja-Raja Melayu telah bersetuju dengan perlantikan tersebut,” petik kenyataan itu.

Bernama juga melaporkan mesyuarat hari ini di Istana Negara dipengerusikan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Selain Raja Perlis, mesyuarat itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Turut berangkat ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mesyuarat itu dilaporkan berlangsung selama kira-kira satu jam.

Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku Abdul Halim berkuat kuasa 13 Dis 2011 dan tempoh perkhidmatan baginda akan berakhir pada 12 Dis ini.
Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sembilan Raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.

– M’kini

.