SULTAN JOHOR TOLAK REKAAN SISTEM TRANSIT REL

SULTAN Johor menolak reka bentuk projek ikonik antara Malaysia dan Singapura, dan mempersoalkan perlunya agensi persekutuan untuk mengendalikan projek negeri di selatan itu.
Tindakan terbaru Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ini dilihat penegasan kepada kekuasaan dan kewibawaan pemerintahannya di Johor.

Beliau memberitahu Straits Times Singapura yang cadangan Sistem Transit Rel (RTS) dari Bukit Chagar di Johor Baru dan Woodlands di Singapura perlu mempunyai reka bentuk praktikal, bukannya melengkung dan menolok rancangan pembinaan jambatan setinggi 30 meter di atas air pada bahagian tengah.

“Kenapa perlu reka bentuk melengkung sedangkan kita boleh mempunyai reka bentuk lebih praktikal yang lurus dan dekat dengan Tambak Johor?” Katanya dalam temubual itu.

RTS diumumkan pada 31 Julai dan akan memulakan operasi pada Disember 2024 melalui usaha sama yang melibatkan pengendali kereta api Singapura, SMRT Corp, dan Prasarana Malaysia Bhd.

Tempoh konsesi RTS adalah 30 tahun bagi kontrak permulaan.

Bagaimanapun, Sultan Johor mempersoalkan peranan Prasarana dalam membangun dan menguruskan projek yang menghubungkan dua negara itu.

“Mengapa mesti Prasarana? Mengapa bukan kerajaan Johor?

“Perlu diingatkan yang perkara melibatkan tanah adalah hal negeri. Keutamaan saya ialah rakyat Johor; mereka gembira dengan apa yang sudah diputuskan,” katanya.

Di samping menegaskan yang beliau bersetuju dengan projek itu, Sultan Ibrahim berkata kerajaan negeri seharusnya dipilih sebagai pihak yang menjalankan usahasama dengan Singapura.

“Projek ini di Johor, jadi mengapa perlu melibatkan Prasarana? Biar kerajaan Johor dan Singapura menjalankan usaha sama, dan saya boleh mengumpul dana sekiranya perlu,” katanya, mempersoalkan perlunya kontraktor berasingan untuk membina sebahagian rel di negara terlibat.

Sultan Johor mencadangkan agar projek itu dilakukan kontraktor tunggal melalui usaha sama antara Malaysia dan Singapura, sambil menambah akan berbincang dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada bulan depan dan juga Putrajaya.

“Kecuali anda tinggal di Johor, anda tidak akan memahami sentimen Johor.”

Beliau bertegas dengan pandangannya mengenai reka bentuk rel, dengan mengatakan cadangan asal hanya akan mengganggu pemandangan bandar di situ.

“Pihak yang terlibat juga perlu berunding dengan saya. Apa pun (rancangan baru) yang dibentangkan kepada saya, perlulah logik, ekonomik dan mampan bagi kepentingan bukan sahaja rakyat Johor, tetapi semua rakyat Malaysia dan Singapura.

Sultan Ibrahim juga berkata reka bentuk yang melengkung, serta jambatan bertingkat sebagai tidak praktikal dan mampan serta berkemungkinan menelan kos yang mahal.

“Mengapa mereka perlukan jambatan setinggi 30 meter itu kecuali ada rancangan menukat Tambak Johor?

“Saya mencadangkan reka bentuk diluruskan agar lebih praktikal, dan ia akan mengurangkan kos,” katanya sambil melukis reka bentuk kepada pengarang akhbar yang menemuramahnya.

“Reka bentuk penting kepada kami, dan ‘kami’ yang saya maksudkan adalah Johor.”

RTS diumumkan kerajaan Malaysia dan Singapura tujuh tahun lalu sebagai alternatif yang sangat diperlukan kepada 80,000 hingga 100,000 orang yang menyeberangi Tambak Johor setiap hari.

Ia dijangka mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi satu hala, antara stesen terminalnya di Bukit Chagar dan Woodlands.

– https://www.themalaysianinsight.com

.