SULTAN JOHOR ‘TERASA’ KENYATAAN BUGIS DIKELUARKAN DR MAHATHIR

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengakui turut “terasa” dengan kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang melabel masyarakat Bugis sebagai lanun, lapor akhbar Berita Harian.

Menurut Sultan Ibrahim, kenyataan Dr Mahathir itu seolah-olah mahu memecahbelah dan menimbulkan kebencian sesama kaum yang sepatutnya saling menghormati.

“Saya terasa juga, saya keturunan Bugis, rakyat Johor banyak keturunan Bugis. Asal usul saya pun dari Riau Lingga. Banyak Bugis apa rasa orang Bugis.

“Cuba saya kata orang Cina perompak. Terasa tak semua Cina? India pembunuh? Terasa orang India. Ini yang saya kata balik semula memecahbelahkan. Membuatkan kaum sesama kaum membenci. Kita sepatutnya mesti saling menghormati antara sama satu lain,” baginda bertitah.

Pengerusi Bersatu itu sebelum ini didakwa membuat kenyataan sedemikian dalam ucapan pada perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober.

Susulan itu, pada Oktober, Sultan Selangor menerusi Dewan Diraja Selangor ingin beliau disiasat kerana menghasut, berikutan dakwaan mencetuskan kebencian terhadap keturunan Bugis.

Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata Dr Mahathir dilihat seolah-olah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, merendahkan dan melihat masyarakat Bugis dengan penghinaan.

Kenyataan bekas perdana menteir yang paling lama berkhidmat itu mengenai Bugis turut dikritik oleh anggota masyarakat yang menuntut agar beliau memohon maaf.

Persatuan Bugis Indonesia menuntut Dr Mahathir meminta maaf atau ia akan mengadakan protes di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia.

Bugis adalah kumpulan etnik yang berasal dari kepulauan Sulawesi di Indonesia. Sebahagian besar masyarakat Islam Malaysia berketurunan Bugis.

Sementara itu, Sultan Ibrahim dalam pertemuan bersama Kumpulan Media Prima sempena Hari Keputeraan baginda ke-59 di Istana Pasir Pelangi bertitah agar pemimpin Melayu bermuafakat dalam membawa keberkatan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.