SULTAN JOHOR PERKENAN TMJ TANDING PRESIDEN FAM

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan untuk membenarkan anakandanya, Tunku Ismail disenarai sebagai calon bagi merebut kerusi panas FAM.

Persetujuan baginda itu dimaklumkan Timbalan Presiden Bolasepak Melaka, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang mewakili 14 gabungan FAM yang hadir bertemu Tuanku di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi, di sini, awal pagi tadi.

Menurutnya, melalui pertemuan tersebut baginda bertitah mahu melihat sokongan yang tulen diberikan oleh ahli gabungan FAM yang mahu menyokong puteranya untuk menerajui organisasi berkenaan.

“Tuanku Sultan mahu melihat kesungguhan kami berkenaan sokongan terhadap anakandanya untuk jawatan tersebut dan selepas melihat perkara ini baginda bersetuju dan kami menganggap ia juga sebagai tanda persetujuan daripada pihak TMJ.

“Baginda juga menetapkan syarat untuk perkenannya itu yang mana pihak kami tidak boleh meletakkan tempoh sebaliknya memberikan masa untuk TMJ membina semula organisasi tersebut jika pencalonan tersebut menjadi miliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan bersama Sultan Ibrahim di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.

Pertemuan selama sejam itu turut dihadiri delegasi daripada 14 gabungan antaranya Perak, Kelantan, Perak dan Selangor.

– Sinar Harian

.