SULTAN INGATKAN JAKIM TENTANG PERANAN DI SELANGOR

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pegawai persekutuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berkhidmat di negeri itu supaya patuh dengan dasar dan garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Apa yang ingin Beta tegaskan di sini adalah setiap pegawai kerajaan persekutuan yang berkhidmat di negeri Selangor ini perlulah mengikuti apa juga dasar, undang-undang, peraturan dan garis panduan yang telah diputuskan oleh MAIS.

“Mereka juga perlu memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Beta selaku Ketua Agama Islam di negeri ini sepanjang perkhidmatan mereka di Selangor ini walaupun menerima gaji dan elaun daripada Kerajaan Persekutuan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor Bagi sesi 2018 hingga 2020 di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Baginda turut bertitah semua perkara berkaitan dengan hal ehwal Agama Islam di negeri Selangor ini adalah terletak sepenuhnya di bawah kuasa dan pertimbangan baginda.

“Beta ingin mengingatkan bahawa JAKIM yang bertindak sebagai badan agama di peringkat Persekutuan hanya berfungsi selaku agensi pusat yang berperanan untuk menyelaras perkara yang berkaitan agama Islam antara negeri-negeri di Negara ini.

“Setiap satu dasar berkaitan dengan agama Islam dari pihak JAKIM sebagai contohnya isu-isu berkaitan dengan persijilan halal, zakat, pemakaian sesuatu fatwa, wakaf dan sebagainya yang ingin dilaksanakan di negeri Selangor perlulah merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor terlebih dahulu.

“(MAIS) sebagai badan penasihat agama Islam kepada Beta sebelum perkara ini diangkat kepada Beta untuk di lulus dan dilaksanakan,”titahnya.

Sementara itu bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) Datuk Mohammed Khusrin Munawi dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) baru berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Pelantikan Khusrin mendapat perkenan Sultan Sharafuddin mengikut Subsekysen 11 (1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Khusrin menggantikan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Mais sejak tahun 2005.

Khusrin mula berkhidmat sebagai penjawat awam pada 1986 dan mengangkat sumpah sebagai SUK Selangor pada 2011 yang kemudiannya bersara wajib pada 12 Disember 2015.

Sebelum menjawat jawatan SUK Selangor, beliau adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sultan Selangor turut berkenan melantik tiga orang anggota Mais yang baru bagi sesi 2018-2020 iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) Mohd Farid Ravi Abdullah.

Dua lagi yang turut dilantik ialah Pensyarah Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam Universiti Malaya (UM) Prof Madya Khadijah Mohd Khambali@Hambali dan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Prof Madya Yasmin Hanani Mohd Safian.

– M’kini

.