SUKAR UNTUK BN MENIPU DALAM PILIHAN RAYA, KATA NAJIB

BARISAN Nasional (BN) sukar untuk menipu dalam pilihan raya umum memandangkan sistem berkenaan telah ditambah baik dari masa ke semasa berbanding zaman pentadbiran perdana menteri terdahulu, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Presiden Umno itu berkata, sistem pengendalian pilihan raya ketika pentadbirannya mempunyai tahap ketelusan yang lebih tinggi dan diperkukuh dengan penggunaan dakwat kekal berbanding ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tidak anggap luar biasa tapi satu yang aneh sebab sistem yang kita amalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sistem yang sama mengangkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

“Malah sistem kita lebih diperkukuhkan menjadi lebih telus berbanding dulu. Kita ada polling agent counting agent (ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi atau) dan kita ada sistem dakwat jadi peluang untuk menipu boleh kata tidak ada langsung,” katanya.

Najib bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang meminta bantuan negara Kesatuan Eropah (EU) memantau Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Najib berkata, tindakan pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menunjukkan mereka tersepit dan cuba mendapatkan bantuan kuasa asing.

“Jadi bagaimana mereka kata pilihan raya kononnya tidak adil, kenapa 22 tahun tidak buat aduan mengenai sistem dan sistem itu kita amalkan malah lebih baik dari dulu.

“Perkara biasa, mereka tersepit, tidak ada peluang dalam negara, mengadu pada kuasa asing dengan harapan keputusan dalam pilihan raya boleh dipertikaikan.

“Mereka nak timbulkan kontroversi, nak semai ketidakpercayaan rakyat kononnya sistem tidak adil, tapi sistem itu yang lantik beliau, sistem ini bawa negara kepada keadaan kemakmuran yang kita kecapi,” kata Najib.

Dr Mahathir hari ini mempertahankan tindakan pembangkang menemui diplomat EU kerana untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam negara.

Beliau berkata diplomat EU berhak untuk mendengar dari pihaknya berikutan media arus perdana tidak mempublisitikan salah laku kerajaan.

Pengerusi Bersatu itu turut berkata, diplomat EU berkenaan hanya boleh menjadi pemerhati pilihan raya atas permintaan kerajaan Malaysia.

“Tetapi kerajaan ini takkan buat perkara itu dan kita meluahkan kekecewaan kepada mereka,” katanya.

Minggu lalu, kepimpinan PH mengadakan pertemuan dengan diplomat EU di kediamannya.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin, pertemuan yang berlangsung dua jam itu diadakan di kediaman Duta EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernández, disertai 14 Duta dan tiga Charge de Affairs negara-negara EU.

“Seperti dulu-dulu apabila berjumpa Dr Mahathir adalah peristiwa penting bagi para diplomat asing di Malaysia.

“Walaupun beliau bukan perdana menteri lagi, tetapi sekadar calon perdana menteri, namun suasananya tetap sama,” tulis bekas ketua pengarang New Straits Times itu di Facebook miliknya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.