SUDAH-SUDAHLAH TU BUAT KOMEDI, KATA BUDAK 9 TAHUN KEPADA ZAHID HAMIDI

Ini cerita yang disampaikan oleh seorang sahabat mengenai anak perempuannya yang baru berusia 9 tahun.
Dua malam lalu, beliau bersama keluarganya sedang berehat-rehat di ruang tamu selepas menikmati makan malam sambil menonton siaran berita di televisyen.
Ketika itu terpampang di kaca televisyen berita mengenai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang disusuli dengan siaran petikan ucapannya sambil berbaju Melayu ketika merasmikan mesyuarat UMNO.
Sahabat saya itu tidaklah menumpukan sangat perhatiannya kepada siaran berita tersebut ketika itu, sebaliknya hanya menonton secara sambil lewa saja.
Beliau lebih sibuk melayan telefon pintar dalam genggamannya yang dirasakannya lebih bermanfaat untuk mendapatkan berita yang benar, tepat, sahih serta pantas.
Ketika petikan ucapan Zahid Hamidi sedang tersiar itu, anak perempuannya yang sedang membelek-belek buku sekolahnya tiba-tiba bangun lalu mengalih siaran televisyen sambil berkata, “sudah-sudahlah tu buat komedi….”
Selepas mengalih siarannya, anak perempuannya itu kemudian kembali menatap buku-buku sekolahnya semula seolah-olah ucapan Zahid Hamidi itu begitu mengganggunya.
Sahabat saya tergamam dan memandang wajah isterinya, kemudian mereka senyum dan ketawa sesama sendiri.
Beliau segera terfikir, bagaimana anaknya yang baru berusia 9 tahun sudah ada penilaian sedemikian rupa?
Beliau juga tidak pasti sama ada di mata anaknya Zahid Hamidi adalah sekadar “pak lawak yang tidak menggelikan hati”  atau tindakan itu ada kaitan dengan ungkapan “Zahid komedi” yang mungkin pernah didengarnya di mana-mana?
Sebelum PRU 13 dulu, saya ada menulis mengenai kisah bapa kepada seorang bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang sama ada akan menutup atau mengalih siaran setiap kali berita mengenai Najb Razak disiarkan di televisyen.
Sekarang ini pula bukan saja ramai yang masih menutup atau mengalih siaran televisyen setiap kali ada berita mengenai Najib, malah semakin ramai yang langsung tidak mahu mempunyai televisyen di rumah mereka.
Seorang bekas Ketua UMNO Bahagian berkata, beliau sudah beberapa tahun tidak mempunyai televisyen di rumahnya.
Kalau ada televiseyen, sesekali kita mesti nak buka dan tengok. Maka, lagi senang tiada langsung televisyen di rumah, hati pun lapang dan tenang, katanya.
Dengan apa yang berlaku kepada Zahid Hamidi ini, beliau kini nampaknya sudah tidak jauh berbeza dengan Najib dari segi penilaian umum terhadapnya.

Apakah kita perlu memilih mereka lagi dalam pilihanraya akan datang dan membiarkan sebahagian rakyat negara ini terus tertekan hidup dan sengsara jiwanya selagi mereka berdua itu kekal berkuasa?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.