SUDAH SAMPAI MASANYA AHLI PKR BUAT PILIHAN

PERSOALAN mengenai bentuk kerjasama di antara PKR dengan PAS berpanjangan kerana ia satu keputusan yang memberi kesan kepada semua, bukannya PKR semata-mata.

Keputusan sama ada PKR menumpukan kepada persediaan pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH) sepenuhnya (termasuk bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS) atau “berada di dalam dua kolam” (bersama PH tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru) adalah keputusan yang perlu mengimbangi perkara-perkara berikut:

1. Soal prinsip – adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi PKR di seluruh negara mengatasi perkara-perkara prinsip yang selama ini menjadi roh perjuangan PKR?

2. Soal realiti semasa – apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan tiga penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno seperti yang dihujahkan beberapa pihak?

3.  Soal tanggungjawab moral – PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan pentadbiran Najib Razak demi membela rakyat. Keutamaan membela rakyat adalah nadi yang menghidupkan parti ini sejak hari pertama saya mengenalinya.

Sudah tentu ketiga-tiga perkara di atas adalah pertimbangan berat dan saling berhubung kait. Ia disukarkan lagi kerana penilaian kepada ketiga-tiga perkara itu banyak bergantung kepada persoalan tahap sokongan pengundi semasa yang tidak dapat dipastikan dengan mudah.

Satu-satunya cara yang paling objektif untuk menentukan tahap sokongan pengundi semasa ialah dengan bersandarkan kepada laporan-laporan kaji selidik tahap sokongan pengundi. Masalahnya badan kaji selidik yang berlainan memberi gambaran dan laporan yang sangat berbeza.

Perbezaan pendapat yang berpanjangan

Sebab itu, kepimpinan kanan PKR baik di Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak sebelum pun PH ditubuhkan.

Malah semasa Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan PH dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhannya telah mengumpul satu petisyen untuk memecat saya daripada jawatan setiausaha agung pada ketika itu.

Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara dua pemikiran berbeza di dalam PKR.

Di satu pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik PKR mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan PKR sebagai tonggak kerajaan Selangor.

Hasil pendapat ini adalah mudah: PKR tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor.

Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.

Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan di dalam PKR dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti Latheefa Koya, N Surendran dan Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang mengkritik PAS sebelum itu.

Di satu pihak lagi merasakan PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan satu gabungan pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Relevannya PKR di dalam politik tanahair adalah kerana ia adalah orang tengah yang menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.

Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting daripada pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata.

Kemenangan yang menampakkan PKR sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan ia dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau parti lain.

Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan PKR yang berpendapat begini adalah saya, Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Johari Abdul (Ketua Whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ketua AMK), Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan) dan William Leong sendiri.

Parti terbahagi dua

Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara dua pihak seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.

Maka, tugas Wan Azizah sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya faham beliau terpaksa mengemudi PKR tanpa dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan buruknya.

Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi kepada beliau kerana memimpin PKR membidani lahirnya PH dicelah-celah kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk daripada aktivis-aktivis civil society.

Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya PKR membina PH dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan perselisihan PAS dengan rakan-rakan di dalam PH dapat diredakan.

Matlamat utama ialah untuk membina satu barisan pembangkang yang kuat untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan mendapat persetujuan satu lawan satu di antara parti-parti pembangkang utama negara (termasuk PAS, sama ada ia berada di dalam PH atau tidak).

Bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada Amanah dan Bersatu, sudah tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus mendampingi PAS itu wajar.

Kaji selidik yang semakin merumitkan

Pertembungan di antara dua pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip) dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kaji selidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi, semua laporan kaji selidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.

Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan daripada Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan yang menurut mereka menunjukkan (daripada kaji selidik kedua-dua badan ini) bahawa PAS adalah parti Melayu paling kuat. Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan tiga penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar.

Malah, perkembangan terakhir yang mendorong kepada keputusan untuk terus berunding dengan PAS walaupun PH telah jauh berlari ke depan adalah bersandarkan pembentangan terkini Redzuan Othman (daripada Institut Darul Ehsan) dan Mohd Noor Nawawi (daripada Unisel).

Mereka memberi pendapat, berdasarkan kajian mereka, bahawa pengundi bukan Melayu sangat membenci Umno sehinggakan mereka akan tetap mengundi PKR/PH walaupun PKR dilihat terus berunding dan menjalin kerjasama dengan PAS.

Oleh itu, demi mencapai pertandingan satu lawan satu, rundingan mesti diteruskan kerana ia tidak ada kesan besar kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada PKR.

Saya tidak pernah melihat data yang terperinci daripada Merdeka Centre atau Institut Darul Ehsan (IDE).

Kaedah dan jenis sampel kaji selidik yang mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dikendalikan oleh Pusat Kaji Selidik Invoke yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat terkini.

Sudah tentu dapatan kaji selidik Invole sangat berbeza malah bertentangan dengan dapatan Merdeka Centre dan IDE itu.

Seawal Januari 2017, dalam kaji selidik yang terbesar pernah dibuat di negara ini mengenai kecenderungan mengundi, kami dapati undi Umno sudah pun jatuh ke tahap 40%.

Itu memungkinkan senario pertandingan tiga penjuru yang berpihak kepada PH jika undi bukan Melayu kekal tinggi dan ia berjaya mendapatkan 30% sokongan Melayu.

Setakat kaji selidik Invoke yang terkini iaitu Julai 2017, menyimpulkan undi Melayu PH adalah hampir sama dengan undi Melayu Umno iaitu sekitar 30+ %.

Pertembungan dua set data berbeza yang masing-masing menyokong pendapat satu pihak juga disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang mengeluarkan dapatan tersebut.

Invoke ditubuhkan oleh saya, maka dapatannya dituduh berat sebelah hanya untuk menyokong pandangan saya dan rakan-rakan.

Kaedah dan sistem yang digunakan menepati piawaian antarabangsa dan saya pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada manipulasi, ia boleh dibuktikan segera.

IDE adalah milik kerajaan Selangor dan bergantung belanjawannya kepada ihsan menteri besar Selangor.

Malah, kaji selidik IDE hanyalah melibatkan pengundi di Selangor (bukannya di seluruh Malaysia) dan sehingga kini, saya masih belum diyakinkan sama ada sampel yang dipilih adalah benar-benar rawak seperti kehendak sebuah kaji selidik.

Bagi Merdeka Centre pula, saya tidak pernah melihat laporan kecenderungan pengundi seluruh negara yang terkini.

Merdeka Centre juga tidak pernah menyiarkan berapa orang yang ditelefon, berapa kadar jawab (response rate), bagaimana sampel itu dipilih untuk memastikan ia benar-benar rawak dan pelbagai soalan lain.

Saya juga tahu pengurusan Merdeka Centre juga diberi tanggungjawab menguruskan satu projek bernama #teamSelangor di bawah kerajaan Selangor yang dimaklumkan melibatkan peruntukan RM13 juta.

Bagi saya pula, sementara saya menerima pelbagai input dari IDE dan Merdeka Centre, kaji selidik  mereka yang dikemukakan untuk menyokong pendapat kumpulan yang mahu terus berunding dengan PAS ini tidaklah menggambarkan keadaan sebenar dan tidaklah sebebas yang didakwa kerana keterlibatan mereka secara rapat dengan pentadbiran Azmin Ali.

Oleh sebab ini jugalah (dan peranan maklumat yang berbeza-beza dari kajiselidik-kajiselidik seperti yang saya sebut di atas), perbezaan pendapat kami di peringkat pimpinan berpanjangan sejak 2015 dan menjadi lebih kuat dengan dapatan terkini yang dibentangkan oleh Redzuan Othman dan Mohd Noor Nawawi mengenai sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan kerjasama PKR-PAS.

Usaha yang mustahil membuahkan hasil

Mengambil kira perkara-perkara ini, saya bimbang perkara ini akan terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14 kerana ia mengheret sama PH dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara PKR-PAS yang tidak melibatkan PH adalah satu usaha yang mustahil membuahkan hasil.

Saya menyebut begitu kerana PKR tidak boleh merundingkan bagi pihak Amanah dan Bersatu dalam keadaan sebahagian besar tuntutan PAS itu melibatkan Amanah, Bersatu (dan juga DAP).
PAS berkehendakkan supaya kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna Amanah dan Bersatu tidak ada kerusi untuk bertanding.

Saya tidak yakin PKR dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada Amanah dan Bersatu semata-mata untuk memenuhi tuntutan PAS.

Contohnya, satu konfigurasi kerusi di Selangor yang disebut-sebut di bawah cadangan “satu lawan satu” yang diusahakan diantara PKR dan PAS ini ialah PKR bertanding 15 kerusi, DAP bertanding 15 kerusi, PAS bertanding 14 kerusi, Bersatu bertanding 10 kerusi dan Amanah bertanding dua kerusi.

Saya tahu perkara itu mustahil dicapai kerana Azmin tidak akan dapat meyakinkan DAP untuk menerima PAS di dalam kerajaan Selangor selepas ini dan beliau tidak akan dapat meyakinkan Amanah untuk bertanding hanya dua kerusi.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran

Oleh itu, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa kerana PKR tidak ada kuasa dan mandat untuk memaksakan persetujuannya ke atas PH, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat PH yang sedang berjalan.

Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak pelawaan kumpulan daripada PKR yang mahu berkawan tetapi menghina PKR dari semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah PAS dan menyakitkan hati rakan daripada PH hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon PKR termasuklah dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu.

Ini kerana dalam proses cuba memujuk PAS itu, PKR akan dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri.

Apabila rundingan itu gagal akhirnya (kerana ia mustahil dicapai seperti disebut di atas), PKR bukan sahaja tidak mendapat undi daripada penyokong PAS, malah hilang undi bukan Melayu dan pengundi tegar PH yang marah dengan tindakan membelakangkan PH itu.

Selesai melalui undian akar umbi di kongres khas

Itulah latar belakang kenapa tidak ada titik pertemuan atau kompromi di kalangan pimpinan PKR di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat mengenai isu ini.

Perbezaan pendapat ini telah berlanjutan terlalu lama dan kita tidak lagi boleh mengheret anggota biasa PKR dan rakyat keseluruhannya ke dalam kancah ini.

Perbezaan pendapat ini juga telah membahagikan parti ini kepada dua kumpulan sejak kebelakangan ini sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk meneka pandangan setiap pemimpin pusat.

Oleh kerana ada di kalangan pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat PH, perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.

Di satu pihak, yang bersetuju dengan Azmin untuk terus berunding dengan PAS termasuklah naib-naib presiden Tian Chua, Sdr Shamdul Iskandar dan naib presiden dilantik iaitu Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin (yang menjadi wakil rundingan PKR dan PAS).

Pimpinan lain yang dikenali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Zuraida Kamaruddin (ketua Wanita), ahli-ahli Biro Politik iaitu Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah,  Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi) dan Surendren.

Ahli MPP pula termasuklah Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aaishah Sheikh Ismail, Dr Mohamad Nur Manuty, Latheefa Koya, Afif Baharuddin dan Haniza Talha.

Di satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada PH, selain saya sendiri, termasuklah Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Nik Nazmi (Ketua Pemuda), Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan), Johari Abdul (Ketua Whip), Sim Tze Tzin (Pengarah Strategi), Fariz Musa (Ketua Setiausaha Pengelola), William Leong, Jeneral (B) Hadi (Pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (Pengerusi Sabah) di peringkat Biro Politik.

Pimpinan lain yang berpendapat begini di peringkat MPP antaranya ialah Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, Manivanan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat Biro Politik ke MPP hinggalah ke peringkat akar umbi.

Oleh demikian, sampai masanya ia diputuskan secara keseluruhan mengikut perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik iaitu demokrasi.

Saya mengesyorkan supaya satu kongres khas kebangsaan dipanggil dengan segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan cabang-cabang PKR dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti.

Setelah undian dibuat dan kedua-dua pihak ada peluang yang adil untuk membentangkan hujah masing-masing, saya yakin apa pun keputusannya keseluruhan anggota PKR dari atas hingga bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan dari keputusan itu tanpa boleh menuding jari kepada satu pihak lagi.

Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah kongres khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan-rakan PH dan diri kita sendiri.

– https://www.themalaysianinsight.com

.