SUDAH PUAS HATI DAPAT TN50? KHAIRY SARAN POLIS TUTUP JALAN KE DATARAN MERDEKA

HULU TERENGGANU – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan polis menutup semua jalan bakal digunakan peserta Bersih 5 untuk perarakan menuju ke Dataran Merdeka yang dijadualkan 19 November depan.

Menurutnya, tempat-tempat peserta berkumpul sebelum berarak ke Dataran Merdeka juga telah dikenal pasti dan tindakan menutup jalan itu wajar dilaksanakan supaya tiada laluan boleh dilalui peserta apatah lagi Bersih 5 dikhuatiri boleh cetuskan huru-hara.

“Kita tidak mahu kekecohan seperti yang berlaku pada Bersih 3 lalu berulang memandangkan pelbagai tindakan keterlaluan dilakukan waktu itu termasuk terbalikkan kereta polis serta banyak kedai pecah. Perhimpunan Bersih ini boleh cetuskan keadaan huru-hara.

“Jadi kita sarankan supaya PDRM bukan sahaja tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan bagi perhimpunan Bersih 5 tetapi kalau boleh turut mengambil segala tindakan yang diperlukan supaya tiada perarakan bermula dari tempat telah dikenal pasti.

“Kita sudah tahu lokasi berkumpul dan laluan akan digunakan kumpulan Bersih untuk ke Dataran Merdeka, jadi saya harap PDRM tutup jalan tersebut supaya tiada laluan boleh digunakan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung perhimpunan Bersih 5 pada 19 November depan dan terdahulu Khairy hadir ke Retreat Pemuda Umno 2016 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, perhimpunan kumpulan baju merah pula adalah sebagai tindak balas terhadap Bersih 5 dan beliau yakin sekiranya tiada Bersih maka baju merah juga tidak akan mengadakan demonstrasi mereka.

“(Baju) Merah hanya hendak tunjuk mereka menentang Bersih, kalau Bersih tidak buat-buat apa sudah tentu merah pun tidak akan buat apa-apa, jadi bebannya terletak di atas Bersih. Cara terbaik ialah tidak membenarkan perhimpunan Bersih 5 berlaku.

“Sekiranya didapati mana-mana ahli Pemuda Umno terlibat dalam Bersih juga kita akan ambil tindakan sebab himpunan Bersih menentang kerajaan Umno dan PM (perdana menteri), ini melanggar disiplin parti,” katanya.

SINAR HARIAN

.