SUDAH JADI KAWAN, APA SALAHNYA PAS BERTOLAK-ANSUR DENGAN UMNO?

Tidak patut Pas buat begini kepada UMNO?
Apa salahnya jika Speaker DUN Kelantan, Abdullah Yaakub memberi sedikit pertimbangan dan bertolak- ansur kepada Ketua Pembangkang, Norzula Mat Diah dengan memberi laluan kepada beliau membahaskan Bajet Kelantan 2018?
Lagi pun, seperti yang ditegaskan beliau, apa yang mahu disampaikannya ialah hanyalah berkaitan kepentingan rakyat, bukan mengenai dirinya atau hal-hal lain yang remeh.
Dah jadi geng dengan UMNO, takkanlah Pas tak boleh bertimbang rasa dan menggunakan budi bicara?
Betullah ada peraturan iaitu kebenaran tidak diberikan kerana dianggap mengganggu sessi penggulungan, tetapi bukankah peraturan juga ciptaan manusia dan selagi tidak menjejaskan apa-apa, apalah salahnya dilonggarkan sekali-sekala?
Ini sampai Norzula menangis ketika dihalau keluar dewan kerana tidak dibenarkan untuk menyampaikan sedikit permasalahan rakyat yang dirasakannya amat perlu, tentulah detik yang memalukan sebenarnya, bukan saja dalam konteks demokrasi, tetapi juga di ketika hubungan Pas dengan UMNO sekarang seperti adik dan abang.
Kenapa Speaker DUN Kelantan jadi begitu keras, tidak sensitif dan tidak faham percaturan di peringkat atasan?
Sudah lupakah Pas kepada jasa dan budi baik UMNO sejak kebelakangan ini yang antaranya memberi laluan kepada Hadi Awang membentangkan usul persendirian Akta 355, membawa beberapa Ahli Parlimen Pas minum teh tarik ke London, menyokong himpunan ungu di Padang Merbok dan macam-macam lagi kebaikan, khususnya oleh Najib Razak yang tentunya ramai pimpinan Pas di atas pasti tahu mengenainya?
Lebih buruk apabila Speaker DUN Kelantan juga berprasangka tidak baik terhadap Norzula dengan menyifatkan tindakannya berkeras mahu berucap, meskipun tidak dibenarkan sehingga akhirnya dihalau keluar dewan sebagai gimik politik dan semata-mata untuk meraih publisiti agar dicalonkan semula dalam pilihanraya akan datang.
Begitukah sikap seorang pemimpin Islam?
 

Tak baik sungguh Pas Kelantan buat begini kepada UMNO dan ia tentu mendukacitakan buat Hadi dan Najib yang seperti dimaklumi sentiasa berusaha mencari titik persamaan antara kedua parti itu.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.