SUDAH DI BELI OLEH NAJIB? ANWAR PM KE-7, ADAKAH IA MESEJ PKR TAK MAHU MENANG PRU 14?

Tidak cukup dengan mencetak plakad bertulis “Anwar PM ke-7” semasa Kongres PKR pada Ahad lalu, usaha mempromosi semula bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan diteruskan lagi melalui kajian oleh Invoke, sebuah NGO yang diterajui oleh Rafizi Ramli.

Dalam kajian itu, dapatan umum dilaporkan mendapati Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri paling dikehendaki sekiranya pihak pembangkang berjaya memenangi pilihanraya umum akan datang.

Anwar didapati mendapat sokongan sebanyak 23.5 peratus, meninggalkan pesaing terdekatnya Hadi Awang yang memperolehi sokongan 17.6 peratus, Tun Mahathir 16.5 peratus dan Muhyiddin Yassin 12.6 peratus.

Sebenarnya tidaklah salah untuk mempromosi dengan ligat dan berterusan untuk meletakkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri akan datang, apalagi jika semua parti dalam Pakatan Harapan memberi sokongan kepadanya.

Tetapi, yang utama dan sangat penting daripada menonjolkan nama Anwar itu ialah pastikan UMNO dan BN dapat dikalahkan terlebih dahulu. Tidak guna menonjolkan nama beliau secara berterusan jika akhirnya Pakatan Harapan kecundang dan Najib Razak terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU 14 akan datang.

Yang kedua, kenapa Anwar ditonjokkan sebagai Perdana Menteri ke-7?

Semua orang tahu Anwar kini berada di dalam penjara dan tidak mungkin dapat bertanding dalam pilihanraya akan datang. Selepas dibebaskan pula, beliau tersekat lagi selama lima tahun untuk boleh bertanding semula. Dalam proses biasa, hanya dalam PRU 15 Anwar layak bertanding semula.

Anwar bagaimanapun boleh dilepaskan daripada sekatan itu dan layak bertanding lebih awal daripada PRU 15 jika memperolehi pengampunan Diraja, tetapi ia memerlukan Pakatan Harapan menang PRU 14 terlebih dahulu untuk membolehkan usaha itu dilakukan.

Bermakna, jika Pakatan Harapan menang PRU 14, perlu ada seseorang lain terlebih dahulu menjadi Perdana Menteri sebelum Anwar boleh diletakkan ke kerusi idaman kalbu itu.

Ertinya, seseorang yang lain itulah Perdana Menteri ke-7.

Jika selepas itu Pakatan Harapan bersetuju mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri, beliau sebenarnya adalah PM ke-8, bukan ke-7.

Walaupun seseorang yang lain itu hanya merupakan Perdana Menteri sementara, Perdana Menteri interim, Perdana Menteri peralihan atau apa istilah sekali pun, dalam sejarah negara bilangan ke-7 itu tetap miliknya.

Anwar tidak mungkin dapat menjadi Perdana Menteri ke-7 berdasarkan realiti dan hakikat yang menimpa dirinya.

Rafizi sendiri dalam ucapan penggulungan di Kongres PKR, Ahad lalu ada menghuraikan bagaimana Anwar boleh diangkat untuk menjadi Perdana Menteri. Kata beliau, dalam tempoh sebulan selepas Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, akan diusahakan pengampunan Diraja untuk Ketua Umum PKR itu dan di bulan seterusnya pula akan menyusul perletakan jawatan seorang Ahli Parlimen PKR untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding semula.

Secara tidak langsung, Rafizi sendiri mengakui Anwar adalah Perdana Menteri ke-8 dan bukan Perdana Menteri ke-7. Mana mungkin selepas menang pilihanraya kerusi Perdana Menteri dibiarkan kosong begitu saja semata-mata untuk menanti Anwar?

Perdana Menteri yang bersifat sementara, interim dan peralihan itu tetap menjadi Perdana Menteri yang ke-7 walaupun hanya menjalankan tugas selama dua bulan saja.

Tetapi, kenapa PKR masih ditonjolkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-7 juga?

Dalam soal ini, jika benar kemenangan dalam pilihanraya akan datang sebagai matlamat utama, adalah lebih baik PKR berhenti mempromosi Anwar sebagai PM ke-7 kerana ia secara tidak langsung memberi gambaran PKR sebenarnya tidak mahu menang PRU 14 akan datang.

Anwar hanya boleh dijadikan Perdana Menteri ke-7 Malaysia sekiranya kemenangan Pakatan Harapan diperolehi dalam PRU 15 dan bukannya PRU 14. Ketika itu, iaitu PRU 15, Anwar memang sudah bebas untuk bertanding dan tidak terhalang lagi dari segi undang-undang untuk menjadi Ahli Parlimen. Selepas menang PRU 14, Anwar lebih sesuai dijadikan Perdana Menteri ke-8.

Adakah dengan menonjolkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-7, PKR sebenarnya hanya mahu Pakatan Harapan dengan adanya pengaruh Tun Mahathir Mohamad bersama gabungan itu sekarang sekadar berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 133 kerusi yang diperolehinya dalam PRU 13 lalu saja?

Dan target sebenar yang diimpikan oleh PKR untuk menggapai kemenangan ialah dalam PRU 15, bukan PRU 14 supaya Anwar benar-benar dapat menjadi Perdana Menteri ke-7?

Sekali lagi, adakah itu sebenarnya mesej tersirat PKR di sebalik penonjolan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-7 itu?

Dalam pada itu, sejak minggu-minggu terakhir ini muncul juga perkhabaran yang mengatakan ada pihak tertentu dalam PKR yang lebih menyasarkan untuk menang menyingkirkan UMNO dan BN dalam PRU 15 dan PRU 14 hanya medan untuk mengurangkan lagi majoriti semata-mata.

Jika bukan demikian mesej yang tersirat, PKR perlu segera kembali kepada realiti untuk lebih memenangi PRU 14 berbanding usaha keterlaluan menonjolkan Anwar. Tidak salah untuk menobatkan Anwar, apatah lagi jika mendapat sokongan Pakatan Harapan ke arah itu, tetapi yang jauh lebih penting ialah kemenangan mesti dicapai terlebih dahulu.

PRU 14 adalah medan terbaik untuk mengalahkan Najib, UMNO dan BN berdasarkan terlalu banyak isu dan rasa menyampah pengundi terhadap Perdana Menteri.

Tidak menang PRU 14, mungkin peluang terbaik Pakatan Harapan tidak akan muncul lagi selepas itu dan Anwar pun akhirnya terlepas terus impian menjadi Perdana Menteri.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.