SUDAH 2 KALI BINCANG KERJASAMA PAS-BERSATU

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akui parti itu mengadakan perbincangan untuk membentuk kerjasama politik dengan Bersatu.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, sehingga kini belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan setelah dua sesi perbincangan diadakan.

“(Kita akui) ada jumpa (Bersatu), sudah dua kali perjumpaan dibuat, kalau DAP tak puas hati nak buat macam mana,” katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Fadhli Shaari yakin sebarang usaha ke arah kerjasama antara Pas dan Bersatu boleh dilakukan walaupun beberapa kenyataan negatif dikeluarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed.

Mengulas mengenai ketidakhadiran parti itu di pelancaran Bersatu Sabtu lalu, beliau berkata, pihaknya mempunyai alasan tersendiri.

“Antara faktornya beliau berkata, majlis itu dihadiri Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

“Pendirian kita, kalau ada DAP dan Amanah, kita tak akan bersama, itu jelas,” katanya.

Dalam masa yang sama Mohd Amar ketika menjawab dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa Pas memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata ia adalah kenyataan yang tidak tepat.

“Lim Kit Siang kena cerdik sikit, jangan buat kenyataan tak menentu, sebab itu tuduhan, bila pula kita nak sokongan Najib. pilihan raya memang  pun (Pas) lawan Umno,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/

.