SUBRAMANIAM: SOLIDARITI UNTUK ROHINGYA BUKAN BERMAKNA UMNO-PAS

KUALA LUMPUR – Penglibatan Umno dan PAS dalam Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya pada Ahad dengan menyaksikan kedua-dua presiden parti berkongsi pentas yang sama tidak bermakna mereka menjalinkan kerjasama.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, beliau tidak melihat himpunan itu sebagai tanda merapatkan hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau menafikan perhimpunan itu memberi isyarat wujudnya gabungan baru antara Umno apabila berkongsi stadium dan pentas dengan parti pembangkang.

“Pelbagai isu berlaku di mana-mana di Myanmar atau negara-negara lain perlu dilihat dari sudut kemanusiaan dan pandangan saya adalah tidak perlu mengaitkan perkara ini dengan kaum atau agama.
“Pandangan mengenai Rohingya merupakan pandangan Barisan dan ia tidak dilihat sebagai kerjasama antara Umno dan PAS berasaskan agama,” kata Subramaniam.

Umno dan PAS berhimpun di Stadium Titiwangsa bagi membantah tindakan pembersihan etnik Rohingya beragama Islam di Myanmar.

– ANN

.