SUBRA SIASAT DAKWAAN HSA TIADA SIJIL PERAKUAN BOMBA

Kementerian Kesihatan akan menyiasat dakwaan kononnya Hospital Sultanah Aminah (HSA) tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata beliau akan berbincang mengenai perkara itu dengan pihak hospital dan bomba mengenai status bangunan asal HSA, yang dibina sejak 1938.

“Hospital ini dibina pada abad ke-19 dan pada ketika itu, mungkin tiada keperluan untuk FC.

“(Bagaimanapun), setiap kali kita buat perubahan atau pertambahan perkhidmatan, kita akan pastikan alat-alat keselamatan dan pencegahan kebakaran itu ada,” kata beliau kepada pemberita di HSA selepas melawat HSA, susulan kebakaran yang mengorbankan enam nyawa pesakit dan mencederakan empat orang termasuk tiga petugas HSA.

Dr Subramaniam berkata hospital itu telah melalui banyak kerja menaik taraf termasuk pembinaan blok-blok bangunan baharu dan menjalani pemeriksaan serta kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ditanya sama ada HSA telah melakukan latihan mencegah kebakaran atau membentuk pasukan respons kebakaran, Dr Subramaniam berkata:

“Pengurusan dan kawalan kebakaran merupakan tanggungjawab pihak konsensi dan mereka mempunyai prosedur operasi standard yang paling jelas bagi mengurus semasa berlaku kebakaran.

“Mereka mengadakan latihan kebakaran tetapi bukan baru-baru ini, saya fikir mungkin lama dahulu. Namun semasa taklimat saya sebentar tadi, apa yang saya tekankan ialah kita perlu memastikan setiap orang prihatin dengan mematuhi langkah berjaga-jaga yang ditentukan,” kata Dr Subramaniam.

Menurut laporan berita sebelum ini, kemungkinan tiada latihan menghadapi kebakaran dilakukan di HSA sejak 2014.

Kebakaran di HSA yang meragut enam nyawa itu adalah kejadian kebakaran besar pertama yang berlaku di hospital itu dan mencatat tragedi paling buruk membabitkan kehilangan nyawa dalam sejarah kejadian kebakaran hospital di Malaysia.

Menurut maklumat daripada laman sesawang HSA, hospital yang terletak di Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan, kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Johor Bahru itu dibina pada 1938 bagi menggantikan hospital terawal di daerah itu pada 1882.

Dengan keluasan 98.6 hektar, HSA yang berhampiran Selat Tebrau dan berhadapan dengan Singapura mempunyai bangunan hospital setinggi lima tingkat.

HSA menyediakan 21 perkhidmatan klinikal, sembilan perkhidmatan sokongan klinikal, lima perkhidmatan sokongan bukan klinikal dan tujuh unit di bawah Pengurusan HSA.

– Bernama

.