SUATU LAGI KONGRES BUDAYA DALAM MIMPI

Amat silap sekali jika Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia , Tan Sri Dr Rais Yatim menganggap Raja-Raja Melayu tidak memberikan perhatian terhadap warisan yang perlu dipertahankan oleh mereka untuk mengekalkan warisan bangsa yang melibatkan perihal agama,ada resam dan perpaduan rakyat.
Interviu khas dengan akhbar The Star pada 24 Mac 2016 dengan jelas menunjukkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor,Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mendahului Rais Yatim dalam kesedaran terhadap ancaman sebenar yang dihadapi yang menggugat warisan itu.

Baginda telah mengemukakan fakta dan realiti yang sebenar yang tidak berani disentuh oleh para budayawan Melayu terutama Tan Sri Rais Yatim sendiri kerana ia adalah merupakan perkara yang sangat sensitif untuk disuarakan.

Sebagai Ketua agama di negeri, Baginda telah menjalankan tanggungjawab dengan berterus terang menitahkan agar orang Melayu tidak menjadi orang Arab yang bukan sahaja tanpa sedar meruntuhkan keperibadian asal orang Melayu sebaliknya akan melibatkan penerapan nilai sosio budaya dan politik yang merbahaya kepada perpaduan rakyat negara ini.

Kita melihat bahaya ini datang dari RUU355 (Pindaan Kontroversi Akta Mahkamah Syariah) dan anak Johor yang sedar,Mohamed Taufik Tun Dr.Ismail telah tampil kehadapan mengemukakan saman untuk menyekat pembentangannya di Parlimen.

Sebelum ini beberapa orang peguam Islam terkenal telah pun mengingatkan bahawa perbuatan itu bertentangan dengan Perlembagaan Negara tetapi kelemahan politik Melayu telah menyebabkan parti pemerintah sendiri bersubahat untuk mengikis teras pengukuhan pembinaan bangsa Malaysia yang dijuarai oleh parti politik kearaban yang tidak berpegang kepada asas cara pendekatan bersopan Melayu.

Barangkali “ Bangsa Johor” yang dipromokan oleh baginda boleh menjadi benteng kepada kemaraan budaya yang merbahaya ini.

Sebahagian besar budayawan kita berada dalam keadaan tidak sedar penerapan yang semakin agresif nilai kearaban yang menghakiskan identi bangsa yang indah dan sejati sejak beratus tahun termasuk isitilah-isitilah Bahasa yang telah sebati sebagai pengucapan bangsa.

Walaupun dalam beberapa hal saya tidak bersetuju dengan baginda tetapi dalam soal memisahkan nilai kearaban dan keIslaman, Sultan Johor tidak terkeliru dan jelas mengenali ancamannya berbanding dengan budayan Melayu yang terus tenggelam dalam retoric Tamadun Melayu Teras Budaya Melayu tanpa mengenali hakisan sebenar yang sedang berlaku.

Adat-adat istiadat Melayu dan ketamadunan Melayu tidak boleh dipertahankan dengan retoric berulang-ulang tanpa penghayatan terhadap anasir perosak budaya yang datang menerusi kelemahan fahaman sempit dan dogamatik agama.

Membaca kembali interviu khas baginda dengan akhar The Star setahun yang lalu maka saya nampak bahawa baginda dapat melihat bahaya yang lebih besar disebalik penonjolan keperibadian atas kepercayaan sebagai keislaman yang sedang berlaku sekarang.

Baginda telah pun bangkit sebelumpun Kongres Budaya 2017 membuat resolusi supaya majlis raja-raja Melayu bangkit dan tidak berdiam diri dalam pekara yang berkaitan adat istiadat dan Agama Islam(dalam cadangan).

Para budayan yang membuat seruan ini sebenarnya berada dalam khayalan sedangkan baginda bertitah atas realiti.

Interviu baginda dalam hal ini dengan The Star diharapkan akan membuka mata
Tan Sri Rais dari terus berada dalam kesamaran melihat ancaman sebenar kepada ketatasuliaan , kesenian dan keperibadian negara.

Jika Kongres Budaya 2017 tidak ditarik perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh Sultan Johor maka untuk kesekian kalinya,kita akan menghabiskan masa dan wang membincangkan idealisme yang telah basi dan gagal dipertahankan dalam dunia yang semakin tecabar oleh nilai-nilai antarabangsa yang memerlukan penyesuain budaya Melayu dengannya. Penyesuaian inilah yang sedang menghadapi halangan besar dari pemikiran-pemikiran kearaban.

Pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu telah berjaya dalam peperangan politik dengan golongan ini yang menggunakan agama dan kemenangan inilah yang membolehkan negara berada dalam pemodenan dan kemajuan seperti sekarang ini tetapi sekarang kita sedang mengalah kepada mereka.

Dalam interviu yang disiarkan oleh akhbar The Star pada 24 March 2016,Sultan Johor menyeru orang Melayu supaya BERHENTILAH MENIRU ORANG ARAB atau dalam Bahasa Inggerisnya “STOP TRYING TO BE LIKE ARAB”.

Walaupun jeritan tajuk ini seolah-oleh nampak seperti luahan perasaan marah tetapi jika dibaca keseluruhannya maka banyak terdapat kebenaran dan ketajaman baginda dalam menihat keruntuhan sebenarnya yang dihadapi oleh keperibadian Melayu.

Siapakah yang berani melawan arus menghadapi cabaran yang bertopengkan agama seperti keberanian baginda sebagai ketua agama negeri. Apakah Kongres Budaya 2017 seberani baginda untuk mempertahankan sesuatu yang benar yang terpendam di kalangan orang Melayu yang progresif dan dinamik.

Saya mengambil berapa aspek yang penting dari pandangan baginda yang sewajarnya diberikan perhatian oleh Kongres Budaya 2017 yang akan diadakan padadi UKM pada 15 April depan.

Baginda menyeru orang Melayu agar jangan membuang budaya mereka yang unique dan merasa tergugat dengan mereka yang mahu mencegah orang Islam dari meneruskan amalan berjabat salam (antara lelaki dan perempuan) yang telah pun diamalkan sebagai suatu tradisi mengalu-alukan antara satu sama lain.
Sultan Ibrahim menegaskan bahawa baginda tetap berpegang kepada “Adat dan tradisi Melayu sebagai seorang Melayu kerana saya di lahirkan sebagai seorang Melayu”

“Jika ada diantara kamu yang mahu menjadi Arab dan mengamalkan budaya Arab dan tidak mahu mengikut adat Melayu dan tradisinya maka terserahlah kepada kamu.

“ Saya juga mengalu-ngalukan jika kamu hendak pergi tinggal di Arab Saudi.
“Itu adalah hak kamu tetapi saya percaya terdapat Melayu yang mahu mempertahankan Budaya Melayu. Sekurang-kurangnya saya tulen dan tidak hipokrit dan demkian juga rakyat Johor yang mengenali raja mereka.”

Baginda juga menyatakan bagawa baginda lebih selesa menggunakan istilah Hari Raya dari Eid al-Fitr atau Bulan Puasa dan bukannya iftar.

“ Saya telah menggunakan istilah Melayu ini sejak kecil dan menggunakannya kepada ayahanda saya sejak lebih 50 tahun.

“ Saya tidak berhajat untuk menggantikan istilah ini dengan istilah Arab”
Baginda juga menegaskan bahawa kepercayaan kepada agama tidak boleh berasaskan kepada pameran luaran seperti pakaian untuk menunjukkan hubungan dengan Allah tetapi apa lebih penting ialah apa yang dihati dan difikiran.

Kata baginda, salah untuk mengadili orang lain dengan pameran luarannya sebaliknya “Allah yang akan mengadili kamu dan jika mahu menasihatkan seseorang panggillah mereka dan berbisiklah kepada mereka dan jangan memalukan mereka.”

Sultan Ibrahim menceritakan bahawa semasa Kembara Mahkota, baginda telah berjabat salam dengan ribuan rakyat termasuk wanita.
“Kenapa saya mesti tukar kebiasaan ini? Awak tidak perlu fanatic. Jika wanita tidak pasti, saya bertanya adakah mereka mahu berjabat tangan dengan saya dan jika tidak mahu, tiada masalah.”

Baginda menegaskan bahawa “ Ini adalah cara Johor dan mesej saya kepada yang tidak mahu berjabat tangan pergi jauh”

Sultan Johor juga tidak senang dengan JKR Batu Pahat yang meletakkan notis di papan tanda di sepanjang jalan mengingatkan wanita mengenai dosa tidak menutup rambut mereka.

“Ini salah. Ini bukan peranan mereka. Sejak bilakah JKR terlibat dengan peranan ini?”.

“Sejak bilakah JKR di peringkat negeri atau daerah bertanggungjawab atas urusan agama. Tugas utama mereka ialah memastikan jalan berada dalam keadaan baik dan bukan bimbangkan soal perempuan tidak menutup kepala .”
Sultan Ibrahim juga menyebutkan perihal orang Arab termasuk di UAE yang mulai keluar dari bawah tempurung.

“Mereka mulai terbuka. Dulu perempuan Arab Saudi tidak dibenarkan memandu tetapi sekarang boleh malah ada yang sertai politik. Keadaan yang sama juga berlaku di Iran”

Mungkin ada orang menganggap pekara yang dibangkitkan oleh baginda sebagai remeh temeh tetapi baginda tidak hipokrit,berani berterus terang dan ikhlas dalam melihat orang Melayu yang suatu masa dahulu telah maju ke depan dengan budaya mereka sebagai perisai utama dalam menerima pemodenan tetapi sekarang menjadikan sifat-sifat kearaban sebagai anasir yang menyusahkan mereka untuk melihat sesuatu dengan fikiran terbuka dan bertindak sejajar dengan nilai-nilai antarabangsa.
Adakah Kongres Budaya 2017 mempunyai kewibawaan ini atau akan terus membuat keputusan yang tidak berasaskan realiti dan kemudian lemas dalam timbunan fail kertas keputusan yang berasaskan mimpi dan khayalan zaman gemilang yang tidak akan kembali lagi dan semakin jauh dari realiti sezaman.

– http://zamkata.blogspot.com/