SUAMI, ISTERI DITANGKAP KHALWAT TARIK BALIK SAMAN

Pasangan suami isteri yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana ditangkap berkhalwat dalam sebuah serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) di sebuah hotel bajet di ibu negara tahun lalu, hari ini menarik balik saman mereka.

Mohd Ridhuan Giman, memaklumkan kepada Hakim Datuk Nordin Hassan bahawa dia dan isterinya, Siti Sarah Maulad Abdullah menarik balik tuntutan itu kerana menghadapi masalah kewangan.

Berikutan itu peguam kanan persekutuan Kamal Azira Hassan dan Zuhrin Elina Mohd Dom, yang mewakili JAWI dan enam yang lain menuntut kos RM10,000 dan permohonan maaf.

Mohd Ridhuan, 35, yang bekerja sendiri memohon kos lebih rendah kerana menghadapi masalah kewangan. Siti Sarah pula tidak hadir di mahkamah dan dikatakan berada di Muar, Johor.

Berikutan itu, mahkamah mengenakan kos RM3,000 setelah mempertimbangkan masalah kewangan yang dihadapi pasangan terbabit dan tanpa perlu membuat permohonan meminta maaf.

Hakim kemudian mengarahkan saman itu diketepikan. Perkara itu pada awalnya ditetapkan untuk perbicaraan selama tiga hari bermula hari ini.

Mohd Ridhuan, 35, dan Siti Sarah, 27, selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut pada 17 Februari tahun lalu, terhadap JAWI dan dua pegawai penguat kuasa jabatan itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Ketua Pengarah JAWI dan jabatan tersebut, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Pihak plaintif menuntut perisytiharan bahawa tangkapan pada pukul 1.30 pagi, 8 Januari tahun lalu di sebuah bilik hotel bajet di ibu negara itu adalah salah, tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut menuntut ganti rugi am atas kecederaan reputasi akibat tangkapan dan penahanan salah serta hak privasi mereka dicerobohi.

Mereka turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

– M’kini

.