SU POLITIK: HADI DALAM KEADAAN BAIK

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sedang menerima pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di sini.

Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi satu kenyataan media berkata, Abdul Hadi dikejarkan ke hospital selepas mengadu kepenatan semalam.

“Oleh itu kerjasama daripada semua pihak diperlukan agar dapat memberi ruang rehat secukupnya kepada Tuan Guru, dan Pas mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat handai kerana tidak menziarahi beliau pada waktu ini.

“Pas amat menghargai keperihatinan semua pihak yang mendoakan kesihatan Tuan Guru,” katanya.

Kenyataan tersebut sekali gus menafikan penyebaran status kesihatan Abdul Hadi di media sosial sejak lewat petang semalam yang mendakwa beliau terkena strok ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini. –

Bernama

.