STRATEGI KIT SIANG PECAH-BELAH MELAYU?

KUALA LUMPUR- Tindakan Lim Kit Siang `memberi laluan’ kepada pemimpin Melayu mengisi jawatan Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP merupakan strategi beliau untuk terus memecahbelahkan kaum majoriti itu demi kepentingan politiknya.

Perkara itu disuarakan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun yang menjelaskan realitinya Penasihat DAP tersebut selayaknya dilantik menjadi Pengerusi pakatan berkenaan berdasarkan jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki parti pimpinan beliau itu.

“DAP mempunyai secara keseluruhannya 38 kerusi Parlimen dan mewakili 96 DUN, menjadikannya sebagai parti yang mendominasi Pakatan Harapan. Oleh sebab itu, Kit Siang sepatutnya menjadi Pengerusi Pakatan Harapan tetapi beliau berkeras mahukan seorang Melayu mengisi jawatan itu.
“Ini semua hanyalah strategi Kit Siang supaya Melayu berbalah sesama Melayu. Kit Siang hanya menggunakan pemimpin pembangkang Melayu sebagai subjek utama untuk beliau mencapai matlamat melemahkan perpaduan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak mempersoalkan keengganan Kit Siang menyandang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan dan mendakwa tindakan itu ada kaitan dengan agenda memperdayakan pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan mendakwa, Kit Siang yang telah 51 tahun memimpin DAP memilih untuk menggunakan strategi memecah dan melemahkan orang Melayu yang akhirnya memberi laluan mudah membolehkan DAP berkuasa.

Jelas Ahli Dewan Negara itu, perkara tersebut pernah diperkatakan oleh Bekas Ketua DAP Teluk Intan, Hew Kuan Yau dalam satu ceramah kepada penyokong tegar Cina parti itu sebelum ini.

“Inilah sebabnya, meskipun menjadi parti paling mendominasi di dalam pakatan tersebut, Kit Siang masih enggan menyatakan secara umum kedudukan beliau sebagai Ketua Pakatan Harapan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Khairul Azwan menyifatkan orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP untuk memecahbelahkan bangsa sendiri sebagai pengkhianat.

Beliau pada masa sama mendakwa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAN, Mohamad Sabu telah pun berjaya diperbodohkan oleh Kit Siang dalam strategi beliau melaga-lagakan orang Melayu.

-UTUSAN ONLINE