KOUTA BUMIPUTERA SUATU PENGHINAAN, BERANIKAH KJ BERCAKAP DALAM PERHIMPUNAN AGUNG UMNO?

Ketika menghadiri wacana anak muda India mengenai Pelan Transformasi 2050 atau TN50, Khairy Jamaluddin berkata, orang Melayu perlu melihat sistem kouta sebagai suatu penghinaan kepada mereka.
“Kita perlu melihat sistem kouta ini suatu penghinaan, di mana kita perlukan kouta untuk bergerak ke depan.
“Saya mahu supaya suatu hari nanti, masyarakat Melayu boleh kata kita masuk universiti bukan pasa kouta. Saya mahu masyarakat Melayu bertanding dalam gelanggang yang sama, itu aspirasi saya,” kata Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan itu.
Dalam konteks persaingan yang sihat, pandangan Khairy Jamaluddin atau KJ mungkin ada betulnya, tetapi beliau juga harus menyedari bahawa sistem kouta untuk Bumiputera adalah sesuatu yang termaktub dalam Perlembagaan sejak sekian lama.
Sistem itu diperkenalkan kerana orang Melayu dan Bumiputera dilihat masih ketinggalan dan tidak mampu bersaing dengan kaum-kaum lain.
Jika KJ benar-benar ikhlas melihat sistem kouta sebagai suatu penghinaan kepada orang Melayu, beliau seharusnya tidak sekadar bercakap mengenainya di depan kelompok bangsa lain, sebaliknya mesti berani melontarkannya dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Itulah pentas yang paling sesuai jika beliau ingin menerapkan sesuatu yang baru atau mengubah mengenai nasib bangsanya sendiri.
Janganlah, hanya di pentas kaum lain beliau berani berkokok mengenai kouta sebagai suatu penghinaan demi meraih populariti mereka, sebaliknya di depan orang Melayu dan Bumiputera sendiri, lain dan berbeza pula nadanya atau lebih kuat menjerit “Hidup Melayu” agar terus disanjung dan dipuja.
Presiden Perkasa, Ibrahim Ali mengingatkan KJ bahawa sistem kouta dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan sebarang usaha memansuhkannya akan menjejaskan keselamatan negara.
Malah, beliau menggesa KJ agar meletakkan jawatan jika tidak dapat menerima sistem kouta sebagai suatu dasar yang diamalkan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, pada April 2014, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, KJ juga dilaporkan menggesa disediakan kouta untuk anak muda dan Bumiputera memiliki rumah PRIMA.
Kata beliau, sistem cabutan tidak akan menjamin golongan muda dan Bumiputera mendapat sekurang-kurangnya 30 peratus keseluruhan projek tersebut, melainkan perlu ada sistem kouta untuk menjaminnya.
Sekarang, bagaimana pendiriannya mengenai kouta boleh berbeza?
ShahbudinHusin