SPRM TUTUP MULUT BERHUBUNG VIDEO ‘HUBUNGAN SULIT’ PEGAWAI KANAN

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan mengulas berhubung video yang didakwa membabitkan pegawai kanannya mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin.

Timbalan pesuruhjayanya Azam Baki enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu ketika ditanya sama ada apakah pihak suruhanjaya berkenaan melihat perkara berkenaan, yang kini dalam siasatan polis.

“Maafkan saya, saya tidak mahu mengulas perkara itu,” kata Azam kepada The Malaysian Insight.

Sumber SPRM berkata video berkenaan adalah cubaan untuk memburukkan imej pegawai berkenaan dan suruhanjaya terbabit.

“Sama ada beliau (pegawai terbabit) sudah melihat video yang mendakwa beliau ada hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin, tidak diketahui.

“Mungkin dia sudah melihatnya, saya tidak pasti,” kata sumber terbabit.

The Malaysian Insight turut menghubungi polis Kuala Lumpur berhubung siasatan berkenaan laporan itu dan kini masih menunggu maklum balas.

Tuduhan itu mula timbul selepas klip video berkenaan tersebar di Youtube dan kini menjadi sumber siasatan pihak polis.

Pasangan terbabit, dalam satu posting di Facebook pada Selasa, menafikan masalah perkahwinan mereka berpunca daripada si isteri yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan seorang pegawai SPRM.

Menurut pasangan terbabit, perceraian mereka merupakan keputusan bersama dan masalah peribadi keluarga.

Mereka turut menyifatkan pihak yang bertanggungjawab membuat tuduhan dan menyebar serta memanipulasikan perceraian mereka sebagai “keji”.

Video berdurasi hampir tiga minit itu menyatakan wanita berkenaan dan suaminya bercerai pada 28 September di Mahkamah Rendah Syariah Ulu Kelang kerana dakwaan hubungan sulit itu.

Ia turut memaparkan beberapa gambar wanita terbabit, bersama pegawai SPRM terbabit yang didakwa mempunyai hubungan sulit.

Beberapa gambar turut memaparkan wanita berkenaan bersama keluarga, termasuk dua anaknya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.