SPRM TAHAN ANAK SAUDARA MB: SELANGOR KESAL MAKLUMAT BOCOR

Kerajaan Selangor berkata kesal dengan pembocoran maklumat yang berlaku berkaitan penahanan anak saudara menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam, berkaitan perlombongan haram di negeri itu.

Menerusi kenyataan hari ini, Pejabat Menteri Besar Selangor mendakwa ia dibuat dengan tujuan memburukkan reputasi Azmin dan kerajaan negeri menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Pentadbiran dimaklumkan salah seorang yang ditahan SPRM adalah anak saudara menteri besar. Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Namun kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger Umno sebelum penahanan dilakukan.

“(Ia) jelas menggambarkan wujud konspirasi jahat memburukkan reputasi menteri besar dan kerajaan negeri menjelang PRU,” kata Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong.

Anak saudara Azmin dan tiga lagi individu ditahan semalam. Menurut NST Online, mereka antara lain didakwa merasuah pegawai kerajaan tempatan di Kajang agar tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan itu.

SPRM turut membekukan beberapa akaun bernilai RM4 juta milik syarikat terbabit.

Keempat-empat mereka hari ini ditahan reman selama tujuh hari.

Kata kenyataan itu lagi, kerajaan negeri mengalu-alukan siasatan asalkan ia dijalankan secara profesional, telus, dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.

“Siasatan ini jangan digunakan sebagai alat untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap skandal rasuah dan amalan kleptokrasi berskala besar yang melibatkan pemimpin negara,” katanya lagi.

– M’kini

.