SPRM SERBU RUMAH ISA SAMAD DI NILAI

Rumah bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Nilai, Negeri Sembilan diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut pengawal keselamatan yang enggan dikenali dan bertugas di kawasan perumahannya, tiga buah kenderaan SPRM tiba di kediaman Mohd Isa kira-kira pukul 4.30 petang tadi dan pulang kira-kira dua jam kemudian.

Serbuan itu difahamkan untuk mendapatkan fail-fail serta dokumen berkaitan kes yang sedang disiasat.

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan pengesahan berhubung serbuan itu dari pihak SPRM, gagal.

Tinjauan di sekitar rumah Isa mendapati kawalan ketat dilakukan pengawal keselamatan dan pihak media yang berkumpul di situ tidak dibenarkan masuk ke kawasan rumahnya.

Semalam, Isa ditahan SPRM selepas hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan Kuching.

Berikutan itu, SPRM melakukan serbuan ke atas rumah Isa di Selangor pada hari yang sama.
-Bernama

.