SPRM: ‘Pendrive’ FAM tiada unsur rasuah

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah selesai menyiasat ‘pendrive’ kontroversi berkaitan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mendapati tiada sebarang unsur rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya akan menghantar laporan kepada FAM mengenai siasatan tersebut dalam masa terdekat.

“SPRM mengesahkan telah selesai meneliti isi kandungan ‘pendrive’ tersebut dan hasil penelitian mendapati ia tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

“Susulan itu, SPRM akan menghantar satu laporan kepada FAM bagi proses penambahbaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah menyerahkan kandungan ‘pendrive’ itu kepada SPRM untuk siasatan selepas didakwa ia mengandungi bukti penyelewengan FAM.

Dalam pada itu, SPRM menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama dengan FAM dan mana-mana pihak dalam hal berkaitan bagi membincangkan isu yang timbul sekiranya melibatkan unsur rasuah.

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyerahkan ‘pendrive’ itu kepada Khairy untuk tindakan lanjut pada 26 Ogos lalu.

Semalam, Tunku Ismail memberi amaran kepada mana-mana individu yang disebut dalam ‘pendrive’ itu agar mengundur diri dengan cara baik jika tidak mahu identitinya didedahkan kepada umum. – Sinar Harian