SPRM PATUTNYA JADI INSTITUSI BEBAS POLITIK, KATA GUAN ENG

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya menjadi institusi bebas yang boleh membuat keputusan tanpa campur tangan politik, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Timbalan presiden Pakatan Harapan itu berkata agensi anti rasuah itu kini sedang memberi gambaran yang ia “sedang mengejar satu pihak sahaja”.

“(Ia kelihatan) cenderung memihak kepada parti memerintah; dan menentang media bebas dan pembangkang.  

“Ia menimbulkan kebimbangan dan persoalan sama ada SPRM adalah institusi yang bebas atau alat parti pemerintah. Sangat penting untuk (SPRM) supaya tidak kelihatan seperti alat parti pemerintah,” katanya pada satu sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Lim sedang berdepan dakwaan rasuah berkaitan pembelian banglow di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang yang dibelinya dengan harga RM2.8 juta berbanding harga pasaran RM4.27 juta daripada seorang ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon beberapa tahun lalu.

Dia juga didakwa kerana isu mengubah status tanah pertanian di Balik Pulau untuk perumahan awam yang dikatakan memberi manfaat kepada pemilik tanah, Magnificient Emblem, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Phang.

Kemelut perundangan Lim berdepan halangan awal minggu ini apabila penghakiman Mahkamah Persekutuan mengatakan Seksyen 62 Akta SPRM adalah sah, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengatakan peruntukan itu, yang memerlukan tertuduh mendedahkan keterangan pembelaannya kepada pendakwa raya sebelum bicara melanggar Perlembagaan.

Susulan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki dilaporkan memberitahu media pada Khamis yang keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan memudahkan pasukan pendakwaan dalam kes menentang Lim dan membolehkan “perbicaraan yang adil”.

Kenyataan itu dikritik Lim, seperti dipetik akhbar Sin Chew yang mengatakan Azam perlu menjelaskan apakah maksudnya tentang keputusan mahkamah akan “memudahkan pendakwaan”.

“Selama ini saya fikir pendakwaan dilakukan berdasarkan bukti, bukan berasaskan kaedah tertentu untuk mendakwa atau menentang orang tertentu.

“Saya mahu tanya jika kenyataannya (Azam) itu bermaksud lebih mudah untuk kenakan saya. Daripada apa yang saya baca dalam laporan Sin Chew, itulah gambaran yang saya dapat,” katanya.  

Lim berkata sangat penting untuk mengetahui maksud sebenar kenyataan Azam kerana SPRM baru-baru ini memutuskan untuk tidak mendakwa Ketua Penerangan Umno Annuar Musa yang disiasat suruhanjaya itu atas dakwaan salah guna kuasa jawatannya sebagai pengerusi Mara untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan pada Januari tahun ini.

Azam dilaporkan berkata yang pendakwa raya memutuskan untuk tidak mendakwa Annuar, yang merupakan bekas presiden Kelantan FA sehingga November tahun lepas kerana “keterangan dan bukti dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk pendakwaan”.

“Annuar tidak akan didakwa, walaupun pengadu (terhadapnya) dibuat TMJ sendiri,” kata Lim merujuk kepada Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa Annuar memaksa Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menaja pasukan bola sepak Kelantan.

“Kita tahu (Annuar) daripada Umno, dan saya pembangkang,” kata setiausaha agung DAP itu.

Lim juga meminta penjelasan SPRM tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan yang pernah dilakukan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin mengenai sebuah agensi kerajaan yang menjual tanah lebih rendah daripada harga pasaran.

Dia merujuk kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), sebuah agensi di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang kerugian RM15.2 juta kerana menjual tanah kerajaan di Nibong Tebal di bawah harga pasaran kepada syarikat swasta pada 2015

“Mengapa tiada dakwaan? Ini memberikan gambaran tidak sihat.

“SPRM sepatutnya menjadi institusi bebas, tidak wujud unsur politik dalam membuat keputusan,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.