SPRM MOHON REMAN 7 HARI TERHADAP EXCO PULAU PINANG

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon penahanan reman tujuh hari terhadap exco Pulau Pinang daripada DAP, Phee Boon Poh.

Exco kebajikan, masyarakat penyayang dan alam sekitar itu yang juga Adun selama empat penggal, sedang disiasat kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah.

Peguamnya, Ramkarpal Singh dan R.S.N. Rayer berkata mereka memohon membantah permohonan reman itu kepada Pendaftar Ameera Mastura Khamis.

“Kami tidak dibenarkan untuk bercakap dengan Phee bagi mendapatkan arahan selanjutnya lagi. Mahkamah sedang ditangguhkan sebelum membuat keputusan,” katanya.
Phee, 65, yang juga Adun Sungai Puyu sedang disiasat berhubung surat yang ditulisnya berkenaan kilang haram memproses penapis karbon yang beroperasi lebih 10 tahun di tanah pertanian dan ladang kelapa sawit.

Difahamkan surat itu ditulis tahun lalu memohon tindakan penguatkuasaan ditangguhkan terhadap kilang.

Dasar kerajaan negeri Pulau Pinang hendak menyelesaikan isu bangunan haram yang dibina sebelum 2008 secara baik, selagi mereka tidak membawa masalah kepada masyarakat.

SPRM dan beberapa pihak berkuasa persekutuan menyerbu kilang di Sungai Lembu, Bukit Mertajam itu pada Khamis. Mereka turut mengambil beberapa dokumen dari Majlis Perbandaran Seberang Prai.

Pagi semalam, SPRM ke pejabat Phee di Komtar dan mengambil beberapa dokumen. Pada sebelah petang Phee diarahkan ke pejabat SPRM Pulau Pinang untuk merekodkan keterangan.

Phee dimaklumkan beliau akan ditahan sementara keterangannya diambil. Rayer yang berada bersamanya memberitahu media yang penahanan Phee diarahkan SPRM Putrajaya.

Sekumpulan 200 penyokong termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng, exco Pulau Pinang dan pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow, timbalan pengerusi Zairil Khir Johari, serta Adun DAP dan PKR turut berada di mahkamah pagi ini.

Ketika Phee tiba bersama pegawai SPRM kira-kira 10.10 pagi, kumpulan itu melaungkan “Sokong Boon Poh”, “Tangkap MO1” dan “SPRM Jangan Buli”.

Beliau dilihat melambaikan tangan kepada ahli keluarga dari dalam kereta. Bapa empat anak dan seorang cucu itu memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan digari.

Lim mempertikaikan asas penahanan Phee, yang hanya menulis surat atas kapasitinya sebagai exco alam sekitar.

“Beliau menangani isu itu sebagai exco atas aduan orang ramai (mengenai kilang). Tetapi ini siasatan rasuah. Beliau tidak ambil wang.

“Di Pulau Pinang, kami tahu beliau sudah kaya sejak sebelum jadi exco,” katanya, merujuk kepada kekayaan peribadi Phee daripada perniagaan keluarganya.

Lim berkata jika surat exco berdasarkan kepada satu dasar kerajaan negeri boleh menjadi perkara rasuah, beliau ingin tahu apa pendapat SPRM berkenaan kes di negeri pentadbiran Barisan Nasional yang lain.

Beliau memberi contoh antaranya projek penambakan di Kedah yang diluluskan tanpa penilaian kesan alam sekitar yang terperinci, Lynas, perlombongan bauksit dan pembalakan di rizab hutan kekal di Pahang.

Susulan penahanan Phee, Lim berkata beliau memberitahu exco dan Adun lain untuk menjangkakan lebih banyak masalah akan datang daripada pihak berkuasa persekutuan.

Adik Phee, Boon Chee yang berada di kompleks mahkamah berkata beliau mendengar berita penahanan abangnya ketika beliau tiba di Pulau Pinang.

“Saya dengar berita itu jam 7 malam. Saya baru pulang dari luar negara…ahli keluarga kami dalam keadaan baik.

“Pada masa ini kami tidak tahu apa dakwaannya. Tetapi tidak ada apa hendak ditakutkan kerana dia tidak buat salah,” katanya.

Sementara itu, pengurus kilang haram itu berusia 70 tahun bersama anak lelakinya, 37, turut dibawa ke mahkamah tadi untuk mendengar permohonan reman.

Peguam Dev Kumaraendran, V. Pathipan, Khor Chai Koan dan Teh See Khoon mewakili mereka.

– https://www.themalaysianinsight.com

.