SPRM CEKUP KSU KERANA SALAH GUNA KUASA

SHAH ALAM –  Seorang penjawat awam berpangkat ‘Datuk’ merupakan yang terbaru ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah, lapor sebuah akhbar.

Difahamkan, penahanan ke atas Ketua Setiausaha sebuah Kementerian Persekutuan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai SPRM kira-kira jam 8 pagi tadi.

Suspek berusia 59 tahun itu ditahan di rumahnya di Petaling Jaya.

Difahamkan penahanannya dilakukan bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan kedudukannya sejak 2010.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai kebebasan dalam menentukan dan melantik kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan tertentu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Sinar Online mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Kita sedang melakukan siasatan dan tidak dapat mengesahkan jumlah rampasan yang dibuat.

“Tunggu SPRM akan keluarkan kenyataan media dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Online.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya pagi esok untuk mendapatkan perintah reman.

– SH

.