SPLASH: SPRM DIDESAK UMUM HASIL SIASATAN

????????????????????????????????????

SHAH ALAM 28 Dis. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak mendedahkan status siasatan berhubung tawaran harga pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) bernilai RM2.975 bilion kepada umum.

Gesaan itu dibuat oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Suara Rakyat Mar­haen (Suara), Batas Malaysia dan Gapenas Selangor.

Penasihat Suara, Zamil Ibrahim berkata, sejak membuat laporan dan men­yerahkan pelbagai maklumat berhubung isu berkenaan kepada SPRM pada 15 November lalu, sehingga kini beliau masih belum menerima maklum balas mengenainya.

Menurutnya, tiga pihak yang mereka namakan dalam laporan berkenaan iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Splash, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah sehingga hari ini masih belum dipanggil.

“Air menjadi isu paling utama di Selangor malah kilang, kedai makan dan hotel menjadi mangsa kerakusan politik sempit serta kotor selain cubaan penjualan Splash yang meragukan itu.

“Rakyat telah menimbulkan isu keraguan tentang pengambilalihan Spalsh yang boleh dikatakan pencuri wang rakyat.

“Ini baru betul pencuri wang rakyat kerana itu kita hadir ke SPRM untuk merungkaikan istilah keraguan rakyat di negeri ini. Adakah pentadbiran sekarang pencuri wang rakyat?” soalnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat mendesak hasil siasatan isu Splash didedahkan kepada umum di pejabat SPRM Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas Malaysia), Hafizam Haron dan Pengerusi Gerakan Penegak Suara Selangor (Gapenas), Nasiruddin Mohamed.

Mengulas lanjut, Zamil memberitahu, Abdul Khalid difahamkan telah menyuarakan kesedian untuk hadir ke SPRM pada bila-bila masa jika diperlukan tetapi masih belum dipanggil.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada SPRM Selangor hari ini, kes terbabit telah pun diserahkan kepada SPRM Putrajaya dan kini menunggu hasil siasatan SPRM Putrajaya.

“Yang pastinya, isu ini melibatkan wang dan kemudahan rakyat di Selangor, justeru, kami minta SPRM tidak memandang remeh perkara ini.

“Kami tidak mahu rakyat hilang kepercayaan kepada SPRM kerana hari ini ialah hari yang ke-43 kita dedahkannya,” ujarnya.


Video oleh ZULKIFLI SAINUDDIN

– Utusan

.