‘Spiderman’ bantu majlis korban ‎‎

KOTA BHARU – Suasana majlis korban yang berlangsung di Kampung Patek, Batu 11, Ketereh semalam ‘gempar’ apabila adiwira Spiderman tampil membantu majlis berkenaan.

Spiderman tersebut bersama-sama penduduk kampung membantu menguruskan kerja-kerja menyembelih lembu dan juga melapah.

Menurut Spiderman atau nama sebenarnya Zawawi Ghazali, 29, yang terkenal dengan jualan nasi lemak ‘Abe Spider’, majlis tersebut merupakan anjuran keluarganya yang julung kali diadakan.

“Alhamdulillah sambutan yang diberikan oleh orang kampung amat menggalakkan dan meriah dengan kehadiran Spiderman.

“Ramai yang hadir turut tidak melepaskan peluang bergambar dengan Spiderman, ” katanya.

Sebanyak enam ekor lembu disembelih dalam ibadah korban itu dan acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah.

Zawawi juga berkata, idea untuk menimbulkan watak Spiderman hadir setelah mendapat sambutan menggalakkan dengan jualan nasi lemak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan banyak memberi sokongan terhadap jualan nasi lemak Spider di negeri ini.

“Sesungguhnya tanpa sokongan ramai, tidak mungkin saya akan dikenali dan dapat sampai ke tahap ini,” katanya.
– SH

.