SPEKULASI CALON POTENSI PM TAK PRODUKTIF, KATA RAFIZI

Pembangkang perlu menghentikan semua cakap-cakap tentang calon-calon mereka untuk jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurutnya, tindakan itu akan hanya menjarakkan rakyat daripada pembangkang kerana mereka tidak menggemari perbincangan itu.

“Lebih banyak kita bercakap mengenai siapa yang akan jadi perdana menteri, kita akan hilang sokongan rakyat yang kita perlukan undi mereka.

“Saya tidak ada pendapat (mengenai) siapa yang akan jadi perdana menteri, saya hanya fikir (perbincangan) ini perlu dihentikan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi berkata, setiap kali pembangkang membincangkan mengenai calon perdana menteri atau kabinet bayangan mereka, jentera propaganda Umno akan memutar-belitkannya dan pembangkang kehilangan sokongan akar umbi.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa terdapat lobi supaya presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sebagai timbalannya.

MKINI

.