SPEAKER BOLEH KELUAR KALAU TAK SELESA DENGAN SAYA – LIP ENG

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia boleh keluar dari Dewan Rakyat semasa prosiding Parlimen berlangsung sekiranya tidak selesa dengan kehadirannya, kata ahli Parlimen , Segambut, Lim Lip Eng.

Pemimpin DAP itu berkata ini kerana kehadirannya ke sidang Dewan Rakyat adalah atas pilihan pengundi dan bukannya dilantik seperti kedudukan Pandikar.

“Saya rasa sekiranya dia (Pandikar) tidak selesa kalau saya ada di Parlimen dia (Pandikar) boleh keluar bukan saya.

“Sebab saya dipilih oleh pengundi untuk hadir ke Parlimen dan bangkitkan isu negara dan kawasan Segambut tetapi Pandikar bukan dipilih tetapi dilantik.

“Jadi, adalah menjadi tugas saya untuk hadir di Parlimen. Jadi, sekali lagi saya menegaskan kalau Pandikar tidak seronok nampak saya di dalam dewan dia boleh keluar,” kata Lim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Dialog Bajet DBKL 2017 bersama ahli Parlimen dan pemimpin masyarakat di Institut Latihan DBKL, Kuala Lumpur.

Pandikar semalam mencabar Lim supaya jangan menghadiri prosiding Parlimen sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat.

Pandikar dalam satu kenyataan berkata, Lim perlu berbuat demikian jika enggan mengiktiraf kedudukan speaker yang dilantik di bawah Perkara 57 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Kata Lim, tindakan Pandikar melarangnya ke Parlimen disifatkan sebagai kebudak-budakan.

“Cabaran Speaker itu memang saya enggan respon dan saya anggap cabaran dia kebudak-budakan.

“Sebagai speaker dia tidak sepatutnya berbuat begitu dan semalam saya pergi Parlimen masa Pandikar mempengerusikan sidang Dewan dan dia pun tak ada buat apa,” kata Lim.

Minggu lalu, speaker mengarahkan Lim keluar dari kamar khas Parlimen.

Beliau dihalau selepas mereka bertekak mengenai tindakan Pandikar yang didakwa memberi “syarahan” kepadanya berhubung isu subjudis berkaitan saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Lim dilaporkan memberitahu Pandikar: “Kami telah dipilih oleh rakyat tetapi dia dilantik oleh MO1.”

‘MO1’ adalah merujuk kepada individu yang digelar sebagai ‘Malaysian Official 1’dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mahu merampas aset berkaitan 1MDB berkaitan, kerana mendakwa AS$730 juta dari 1MDB disalurkan kepada MO1.

MKINI

.