SOMBONG BONGKAK ATAU NAZRI ADA MUSLIHAT LAIN?

Sekali imbas, Nazri Aziz kelihatan begitu sombong, angkuh dan berlagak bila mengatakan beliau tidak memerlukan sama sekali penyokong UMNO menghadiri debatnya dengan Tun Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini.

Sebaliknya, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, beliau seorang diri mampu menangkis dan menjawab sebarang soalan dalam debat itu nanti.

“Saya hendak minta orang UMNO dan BN tidak usah hadir, saya tidak ada masalah, saya seorang boleh.

“Lagi pula, bukannya saya hendak bercakap dengan penyokong UMNO dan BN. Saya hendak bercakap kepada wakil pembangkang, saya mahu mereka dengar penjelasan saya,” kata Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas.

Jika tidak ara aral melintang atau pihak polis tidak membatalkannya di saat-akhir kerana faktor keselamatan atau kalau tiada arahan secara tiba-tiba daripada pihak atasan, debat antara Nazri dengan Tun Mahathir akan dilangsungkan pada 25 Mac, jam 3.00 petang di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Debat itu tentunya menjadi perhatian seluruh rakyat untuk melihat sama ada Nazri mampu menjawab, menangkis dan berhujah dengan Tun Mahathir berkaitan pelbagai isu semasa seperti 1MDB, dana RM2,600 juta yang mengalir masuk ke akaun peribadi Najib, pelaburan China, skandal BMF dan lain-lain perkara yang mencengkam negara.

Dari segi logiknya, sesiapa pun tentunya memerlukan penyokong dalam debat seperti itu kerana ia mampu memberi lebih keyakinan, menaikkan semangat dan menambah kekuatan minda.

Tetapi, lain benar dengan Nazri, beliau sebaliknya tidak memerlukan penyokong dan mahu berdepan hanya seorang diri dengan Tun Mahathir yang dianggap seorang negarawan hebat dan insan terpilih dari segi pemikiran dan kebijaksanaan.

Apakah Nazri seorang yang sombong, angkuh dan bongkak atau beliau seorang diri memang benar-benar mampu berhadapan dengan Tun Mahathir yang pastinya disertai ribuan penyokongnya dari seluruh negara?

Ataukah mungkin Nazri ada muslihat lain berhubung tindakannya itu?

Berdebat dengan Tun Mahathir, barangkali terlalu sedikit yang percaya Nazri mampu tampil cemerlang. Bukan saja kerana Tun Mahathir dilihat bukan tandingannya, tetapi juga kerana isu-isu yang menjadi topik perdebatan itu terlalu banyak kesalahan dan kecurangannya.

Apakah dalam hal ini Nazri hanya mahu bersendirian dalam debat itu kerana tidak mahu penyokong UMNO dan BN menyaksikan beliau dikalahkan dan dibelasah dengam hujah-hujah oleh Tun Mahathir?

Kalah di depan kata penyokong sendiri mungkin agak mengaibkan bagi Nazri berbanding disorak oleh penyokong pembangkang yang memang semujadinya diketahui tidak menyokong beliau.

Maka, dengan ketiadaan penyokong sendiri, barangkali Nazri dapat meminimakan aib dan merah di mukanya.

Yang kedua, adakah Nazri enggan penyokong UMNO dan BN hadir dalam debat tersebut kerana tidak mahu mereka termakan dengan hujah-hujah Tun Mahathir dan akhirnya akan beralih menambahkan lagi undi kepads pihak pembangkang.

Nazri ada menyebut bahawa kehadirannya dalam debat ialah untuk beliau bercakap kepada penyokong pembangkang, tetapi beliau nampaknya lupa bahawa Tun Mahathir juga ada tugas untuk meyakinkan penyokong UMNO dan BN mengenai pelbagai isu dan kedurjanaan dalam negara yang diakibatkan oleh kleptokrasinya gaya kepimpinan Najib.

Jadi, adakah Nazri cuba menghalang sesiapa daripada termakan atau terpengaruh dengan hujah-hujah bernas Tun Mahathir nanti?

– ShahbudinHusin

.