SOLIDARITI RAKYAT MELALUI KUASA MEDIA SOSIAL MAMPU MENJULANG PERUBAHAN

Kuasa dan pengaruh media sosial memang tidak dapat dinafikan keberkesanannya, malah di beberapa negara yang berlaku perubahan kepimpinan sebelum ini, boleh dikatakan media barulah penyumbang utamanya.
Media baru  dengan hampir semua orang mampu memiliki telefon pintar di tangan masing-masing kini sudah menjadi media arus perdana di kalangan rakyat, manakala akhbar dan televisyen telah turun pangkat menjadi media hiliran yang tidak lagi sekuat dulu cengkamannya.
Dalam waktu terdekat ini, dua peristiwa  bagaimana media baru mampu merubah keadaan yang tidak menyenangkan dan membebankan,  dilihat bagaikan petunjuk nyata bahawa kuasa itu harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dalam mencapai tujuan yang lebih besar.
Bagaimana sistem IMAMS dibatalkan hanya sehari selepas diumumkan penguatkuasaannya dan kes Cikgu Azizan ditarik balik kesnya serta-merta oleh Pejabat Peguam Negara membuktikan solidariti rakyat yang dimanfaatkan melalui media sosial sebenarnya mampu menjadi kuasa yang berkesan ke arah perubahan.
Penolakan majoriti rakyat terhadap sistem IMAMS bukan saja membuatkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan “angkat tangan”  lalu membatalkannya, malah Biro IT UMNO dan segala jentera media sosial berbayar tajaan UMNO dan kerajaan jadi terkapai-kapai dan tidak mampu melawan kuatnya arus penolakan itu.
Begitu juga dalam kes Cikgu Azizan di mana Pejabat Peguam Negara sebelum ini mendapati ada kes untuk mendakwa guru tersebut ke mahkamah, tetapi solidariti para pendidik yang digerakkan melalui media sosial di mana ratusan guru sanggup berhimpun dan memberikan sokongan moral, ia akhirnya memaksa kes itu digugurkan di saat-saat akhir.
Semua itu memberi petunjuk bahawa solidariti rakyat yang digerakkan secara sistematik melalui media sosial mampu membangkitkan kesedaran dan menggerakkan kekuatan untuk menolak sesuatu keadaan yang dirasakan tidak betul dan perlu dilawan.
Kes IMAMS dan Cikgu Azizan sebetulnya hanyalah kes sederhana yang tidak pun melibatkan seluruh rakyat jika dibandingkan dengan sederetan isu lain yang lebih besar dan menyusahkan seperti 1MDB, GST, berleluasanya rasuah sama ada berselindung atau nyata, skandal di merata-rata serta pelbagai lagi yang menghantui kita setiap hari.
Tetapi disebabkan sekelompok rakyat bersatu hati menolaknya dan menggunakan kelebihan media sosial, perjuangan itu akhirnya mencapai kejayaan.
Maka, jika rakyat terus bersolidariti, kekal istiqamah menuntut perubahan kerajaan dan menggunakan media sosial sebagai kuasa baru yang cepat serta berkesan bagi mencapai tujuan itu, kejayaan juga pasti dalam genggaman.
Tambahan lagi perubahan yang mahu dijulang dalam PRU 14 nanti lebih terbukti mampu menyelesaikan banyak kekalutan dalam negara yang wujud sejak Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009 dulu.
Najib adalah beban utama rakyat Malaysia dan oleh kerana beliau dlindungi oleh UMNO dan BN, sewajibnya perubahan juga mesti dilakukan secara total dan menyeluruh.

Marilah kita menjadikan kes IMAMS dan Cikgu Azizan sebagai inspirasi untuk mencipta kejayaan lebih besar dan sebenar-benarnya untuk negara ini dalam PRU 14 akan datang.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.