SOKONGAN KSN KEPADA KU NAN MENGEJUTKAN, KATA KIT SIANG

Kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa bahawa tidak ada masalah dengan gesaan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengu Adnan Tengku Mansor supaya guru-guru menyertai Umno mengundang keberangan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata kenyataan Ali adalah “mengejutkan” dan melanggar sesuatu yang lazim serta tatasusila.

“Mungkinkah Ali akan berkata bahawa guru-guru boleh menyertai DAP dan parti komponen Pakatan Harapan lain?

“Jika tidak, bolehkah KSN ke-13 itu menunjuk bahagian mana Perintah Am (perkhidmatan awam) yang menyatakan bahawa guru boleh menyertai Umno tetapi bukan DAP atau parti komponen HARAPAN yang lain?

“Sila berikan pencerahan, kerana Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid pada bulan Mac pernah berkata bahawa guru yang menyokong pembangkang dan mengkritik kerajaan harus meninggalkan profesion itu?” soal Lim.

Semalam, Ali ketika diminta mengulas mengenai sebuah majlis di SK Putrajaya Presint 14 (1) pada Selasa lalu, di mana Tengku Adnan menggesa para guru untuk menyertai Umno, dipetik oleh beberapa portal sebagai berkata: “Saya tiada masalah dalam hal itu”.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai larangan penjawat awam berpolitik.

Kerajaan menjadi sasaran susulan kehadiran Tengku Adnan di SK Putrajaya Presint 14 (1) yang bukan sahaja menyampaikan ucapan yang diselitkan unsur politik, tetapi juga kerana bendera Umno dihias di seluruh sekolah manakala pelajarnya pula menyanyikan lagu parti itu.

– M’kini

.