SKMM TARIK BALIK SEKATAN PENGENDALI PERMAINAN VIDEO

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menarik balik sekatan ke atas permainan video “Fights of God” selepas pengendali platform permainan itu akur untuk menghalangnya daripada dimuat turun oleh pengguna di Malaysia.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata berikutan itu, tindakan sekatan yang dikenakan terhadap laman sesawang steampowered.com akan ditarik balik.

“SKMM komited di dalam melindungi kepentingan pengguna di Malaysia, dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di negara ini.

“Pengguna juga diingatkan  agar lebih berwaspada dan menggunakan kebijaksanaan mereka ketika memilih kandungan untuk diakses,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, suruhanjaya itu mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan internet untuk mengambil tindakan menyekat laman sesawang yang menjadi platform pengedaran digital permainan video berkenaan yang dilihat mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata tindakan itu diambil berikutan penyedia platform permainan video terbabit gagal mematuhi tempoh 24 jam yang diberi untuk menghalang permainan itu dimuat turun pengguna di Malaysia.

“Tindakan yang dilaksanakan ini adalah perlu bagi melindungi pengguna selain memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan matlamat utama kerajaan, sebarang perilaku yang menggugat matlamat ini tidak akan dikompromi sama sekali oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Menurut Salleh sebarang perbuatan mencipta dan menyebarkan kandungan jelik adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Permainan video “Fight of Gods” yang diilhamkan oleh permainan seperti “Street Fighter” membangkitkan kemarahan pemimpin agama dan penggemar permainan video kerana menampilkan watak seperti Jesus dan Buddha sebagai watak utama dalam permainan dengan pemain menggunakan wira pilihan mereka untuk mengalahkan wira pilihan lawan. Permainan ini dimajukan oleh Digital Crafter dari Taiwan.

Keterangan permainan yang dimuat naik dalam laman itu menyebut: “Doa kamu sudah dimakbulkan. Buat pertama kalinya, tuhan, roh suci dan karakter mitos dari seluruh dunia dan sejarah akan bertembung dalam perlawanan 2D yang mana dunia menjadi taruhan!”

Permainan tersebut dikeluarkan untuk diakses pada 4 September dan secara keseluruhannya ulasan pengguna sangat positif, yang mana ramai memuji konsep permainan yang tidak masuk akal itu.

Ulasan negatif pula hanya menyatakan permainannya yang agak lemah dan keseimbangan yang kurang baik.

Difahamkan semua permainan dan produk yang dikeluarkan Steam boleh dilaporkan kerana fitnah, menyinggung perasaan, pelanggaran undang-undang, berbahaya, penipuan, eksploitasi kanak-kanak, kandungan dewasa, pornografi dan ucapan kebencian. Semua pelawat laman sesawang itu boleh mengakses permainan yang mahu dilaporkan dan klik pada butang flag.

– https://www.themalaysianinsight.com

.